Nasib 'geng abah' tunggu isteri beli-belah saat akhir
SHAH ALAM - Persiapan perayaan kebiasaannya sinonim dengan kaum wanita, namun golongan lelaki juga turut diheret sama untuk 'memeriahkan' suasana.
Situasi ini boleh dilihat apabila kebanyakan suami 'disidai' atau terpaksa menunggu di luar butik pakaian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu.
Lokasi itu merupakan titik panas yang menjual barangan atau pakaian raya dipenuhi pelanggan sejak dua minggu lalu telah menyaksikan pelbagai karenah pelanggan di lokasi terlibat.
Apa yang mencuit hati adalah gelagat sang suami yang duduk di kaki lima sambil menanti isteri dan anak perempuan membeli-belah keperluan raya.
Seperti yang tular di platform TikTok baru-baru ini, pemilik akaun @AbeYie memuat naik video yang memaparkan golongan bapa dengan pelbagai reaksi muka telah menarik perhatian ramai.
Rata-rata netizen meninggalkan komen dan berkata situasi berkenaan adalah rutin biasa bagi kaum lelaki apa tiba musim perayaan.
Tidak lupa juga, ada juga yang menasihatkan supaya ibu bapa tidak membawa anak kecil ke tempat orang ramai kerana berisiko terkena jangkitan virus atau penyakit berjangkit lain.
Dalam pada itu, situasi membeli-belah tersebut juga dapat disimpulkan bahawa ia merupakan satu terapi untuk wanita menenangkan fikiran dengan melihat atau membeli apa yang mereka mahukan.
Perkara berkenaan disahkan Psikologi Klinikal, Scott Bea iaitu banyak nilai psikologi dan terapi ketika seseorang membeli sesuatu untuk dirinya sama ada secara sederhana ataupun berlebihan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!