Pengunjung berpuas hati
SHAH ALAM - Para pengunjung program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 berpuas hati dengan gerak kerja sistematik dan strategi yang diuruskan para petugas bagi memastikan program itu berjalan lancar sehingga ke penghujungnya.
Ketua projek, Firdaus Hussamuddin berkata, pihaknya berbesar hati dan gembira dengan pelaksanaan program yang berlangsung mengikut perancangan dan memenuhi harapan orang ramai.
Malah menurutnya, pujian patut diberikan kepada semua petugas yang bertungkus lumus memastikan pengunjung tidak menghadapi kesukaran dari awal pendaftaran sehingga selesai berbuka puasa.
“Dari segi penambahbaikan mungkin perlu lebih tersusun, tapi saya rasa kesemua petugas sudah cukup mahir dan tahu apa nak buat contohnya kalau hujan, akan ada ‘pelan B’ iaitu berbuka di bawah khemah besar (marquee tent).
“Maklum balas yang diterima daripada pengunjung pun kebanyakannya positif, alhamdulillah.
"Saya harap tahun depan lebih ramai lagi akan sertai program ini.
“Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan petugas Karangkraf serta pengunjung yang sentiasa menyokong usaha kami,” katanya kepada Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Penganjuran Iftar Ala Madinah yang bermula 13 Mac hingga 5 April terbuka kepada 2,000 tetamu sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Ditanya mengenai cadangan penambahbaikan daripada perspektif pengunjung pula, pembantu pengurusan murid, Norliza Abdul Rasyid, 44, memberitahu, setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan boleh dikatakan tiada apa-apa kekurangan.
“Setiap tahun saya dan keluarga datang ke sini, rasa bersyukur dan bertuah kerana program ini lain daripada yang lain.
”Sebab berkonsepkan ala Madinah, saya pun tak pernah sampai ke sana lagi.
"Setakat ini, semuanya okay kerana tahun lepas tak ada iftar berbumbung macam ini.
“Satu penambahbaikan yang bagus, diharapkan ia berterusan sehingga tahun-tahun akan datang kerana walaupun sangat ramai, tapi teratur,” ujarnya.
Suri rumah, Norhagigah Aziz, 59, turut setuju dengan pendapat Norliza kerana dia dan suami tidak pernah terlepas untuk hadir berbuka puasa beramai-ramai sepanjang penganjuran Iftar Ala Madinah kali ini.
“Saya baharu sahaja tahu tentang program ini, memang seronok dan puas hati kerana makanan sedap.
“Kalau boleh buatlah lagi pada tahun depan kerana saya rasa (susun atur) program tahun ini pun sudah baik.
“Saya memang suka datang ke sini hari-hari dengan suami sebab kami tinggal berdua sahaja, kalau berbuka puasa beramai-ramai lebih seronok,” jelasnya lagi.
Begitu juga dengan pekerja bebas, Asyraf Jebat, 35, yang mengakui penyertaan dan sambutan diterima kali ini sangat meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tambah pemuda itu lagi, dari segi kemudahan amat memuaskan hati kerana ada disediakan alternatif lain buat pengunjung sekiranya berdepan situasi luar jangka.
“Khemah yang disediakan pun selesa walaupun asalnya orang nak berbuka puasa di ruang terbuka.
“Semuanya teratur dan mungkin selepas ini penyertaan dibuka kepada lebih ramai pengunjung lagi,” kata Asyraf.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!