Kesetiaan mahal nilainya
SHAH ALAM - Kesetiaan dalam hubungan suami isteri mahal nilainya kerana ia merupakan perkara penting yang akan mempengaruhi hala tuju sesebuah perkahwinan sama ada kekal atau terputus di tengah jalan.
Mereka yang dikurniakan pasangan setia disifatkan sangat bertuah kerana mampu memelihara ikatan perkahwinan dengan baik.
Ini kerana lumrah sebagai manusia, sangat sukar untuk memaafkan pasangan yang tidak setia atau curang yang boleh memusnahkan hubungan antara suami isteri.
Bayangkan, selepas bertahun hidup bersama dan melahirkan zuriat, rumah tangga mereka diuji dengan kehadiran orang ketiga.
Kesakitan itu bukan sahaja dirasai oleh pasangan sama ada isteri mahu pun suami tetapi anak-anak juga turut terluka dan akan menerima kesan daripada perbuatan tersebut.
Oleh sebab itu, kedua-dua pasangan perlu berfikir panjang agar tidak meruntuhkan institusi kekeluargaan yang dibina dengan bersikap jujur, menghargai pengorbanan pasangan masing-masing, sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain, selain tidak sesekali menjemput 'orang ketiga'..
Baru-baru ini, tular di media sosial nama Aliff dan Ruhainies diperkatakan selepas ditangkap khalwat pada 8 Mac lalu di sebuah unit kondominium mewah milik aktres itu.
Aliff dan Ruhainies bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pada jam 2 petang hari sama dan bakal dibicarakan di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Akibat insiden itu, Bella memfailkan permohonan perceraian secara ekspres di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Sementara itu, kes tersebut turut mendapat perhatian penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang menjelaskan bahawa Ramadan bukan bulan perceraian dan melakukan dosa,namun ALLAH jadikan bulan keampunan dan maghfirahnya yang terlalu luas.
"Khabarkan lagi kepada para suami, bawalah rumah tangga kalian ke syurga ALLAH, bukan menghancur dan memusnahkan dengan kemaksiatan yang menghilangkan keberkatan.
"Bagi setiap isteri mukminah, tutuplah aib rumah tangga kalian daripada terbuka dan didedah di kalangan masyarakat awam.
"ALLAH membuka jalan perdamaian dengan kedua-dua bertaubat kembali kepada ALLAH," ujarnya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!