Pelajar kolej maut kemalangan, tak sempat pulang beraya

Motosikal yang ditunggang mangsa ketika terlibat dalam kemalangan di kilometer (KM) 121.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Khamis. Foto IPD Batu Pahat
Motosikal yang ditunggang mangsa ketika terlibat dalam kemalangan di kilometer (KM) 121.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada Khamis. Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Hasrat seorang pelajar Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 121.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam, mangsa yang menunggang motosikal telah bergesel dengan sebuah kereta.

Menurutnya, ketika kejadian kereta itu memperlahankan kelajuan di lorong kiri untuk menukar laluan ke lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal di bahagian enjin.

"Akibatnya, mangsa terjatuh di lorong kanan dan kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta lain yang tidak sempat mengelak.

"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kedua-dua kaki dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

“Bagaimanapun sekitar jam 1.05 pagi, mangsa yang beralamat di Taman Johor Jaya, Johor Bahru disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!