PDRM umum pertukaran 20 pegawai kanan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 6 Mei ini.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, pertukaran itu antaranya membabitkan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan yang dilantik sebagai Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Beliau menggantikan Datuk Mohd Khairi Khairudin yang dilantik ke jawatan Ketua Polis Terengganu.
Beliau berkata, pertukaran lain melibatkan Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Shazeli Kahar yang dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.
"Datuk Abu Samah Mohd Noor pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.
Selain itu, menurut Alzafny, Komandan Maktab Teknik PDRM, Bakri Muar Johor SAC Sulaiman Hussain dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Alzafny berkata, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Senior Asisten Komisioner Thaipul Bahri Mokhtar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Integriti) Standard Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
"Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin pula dilantik sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri Muar Johor sementara Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, kedua-duanya memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!