Liga belum mula, tiga mata Kedah Darul Aman sudah dipotong
BADAN bebas, First Instance Body (FIB) mengumumkan bahawa kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024/25 dan denda RM50,000 berikutan kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.
Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, KDA FC telah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac lalu namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.
Jelas Sheikh Mohd Nasir, FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.
"Namun, ia masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023.
"Oleh demikian, pasukan KDA FC dikenakan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024/25 serta denda RM50,000 berkuat kuasa serta- merta pada Khamis berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 Article 2.4 (c) Licensing Sanctions
"Bagaimanapun sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5 petang maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024/25," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir mengesahkan bahawa kelab Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!