[VIDEO] Penduduk kekalkan tradisi ketuk-ketuk sahur
MELAKA - Penduduk Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, masih mengekalkan tradisi bagi mengejutkan kira-kira lebih 25 buah rumah penduduk untuk bangun sahur sepanjang Ramadan.
Ketua kumpulan berkenaan, Roshidi Yusof, berkata, kumpulan yang dinamakan 'ketuk-ketuk sahur' akan berhenti rumah ke rumah di sekeliling kampung itu seawal jam 3 pagi.
Menurutnya, mereka akan menyanyikan pelbagai jenis lagu seperti dondang sayang dan lagu raya sambil bermain alat muzik antaranya rebana, kerincing, gendang, kompang dan harmonika.
Katanya, keunikan dan kelainan tradisi kampung ini apabila penduduk akan meraikan kumpulan ketuk-ketuk sahur dengan menyediakan jamuan makan atau dikenali dengan panggilan 'bake' kepada peserta untuk bersahur bersama.
"Penyediaan 'bake' kepada peserta ketuk-ketuk sahur bukanlah satu kewajipan dan bergantung kepada tuan rumah sama ada mahu menyediakan atau sebaliknya, kerana kebiasaanya bake akan disediakan di rumah penduduk yang terakhir.
"Selalunya penduduk yang menyediakan 'bake' akan membuka lampu rumah sebagai isyarat mereka menyediakan jamuan makan sekali gus mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini pada pagi Jumaat.
Tambahnya, meskipun penduduk mempunyai komitmen masing-masing, namun sambutan yang diterima begitu menggalakkan dengan penglibatan seramai 60 orang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, berbanding kira-kira 20 orang sebelum ini.
Seorang penduduk, Jamaliah Nd Isa berkata, aktiviti seperti itu pasti dirindui penduduk kerana hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dapat membantu mengejutkan ahli keluarga termasuk anak-anak untuk bangun sahur.
"Dari saya kecil, aktiviti ini telah ada dan diteruskan sehingga sekarang, malah anak akan bangun awal kerana keterujaan mendengar muzik yang dimainkan," katanya.
Sementara itu, sidang kampung berkenaan, Nurhayalan Abdul Malek berkata, dengan adanya penglibatan generasi muda, sekurang-kurangnya tradisi yang diamalkan sejak dulu lagi dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
"Alhamdulillah saya harap aktiviti ini akan diteruskan oleh orang muda supaya tradisi tidak mati begitu sahaja dan boleh berpanjangan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!