AS$30 juta lesap, rompakan wang tunai terbesar di Los Angeles

Polis dan FBI sedang menyiasat kecurian sebanyak AS$30 juta dari kemudahan penyimpanan wang di Los Angeles. Foto EPA
Polis dan FBI sedang menyiasat kecurian sebanyak AS$30 juta dari kemudahan penyimpanan wang di Los Angeles. Foto EPA
A
A
A

LOS ANGELES - Polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat kecurian sebanyak AS$30 juta dari kemudahan penyimpanan wang di Los Angeles, bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat, lapor media tempatan pada Khamis.

Xinhua memetik sumber penguatkuasaan undang-undang yang memaklumkan kepada stesen televisyen KABC tempatan bahawa kecurian itu berlaku di sebuah fasiliti GardaWorld di Sylmar, sebuah kawasan pinggir bandar di Lembah San Fernando, pada Ahad.

Pencuri memecah masuk ke kemudahan itu tanpa dikesan - tanpa mematikan penggera - akses melalui bumbung dan berjaya masuk ke kawasan penyimpanan wang, yang mungkin merupakan bilik kebal, menurut laporan itu, memetik pegawai yang diberi taklimat mengenai siasatan.

Syarikat yang memiliki bangunan itu tidak menyedari kecurian besar-besaran itu sehingga pagi Isnin.

Sumber penguatkuasaan undang-undang dipetik sebagai berkata oleh akhbar tempatan utama, Los Angeles Times bahawa kes pecah masuk itu adalah antara kecurian terbesar dalam sejarah bandar Los Angeles berkaitan wang tunai dan jumlahnya melepasi mana-mana rompakan kenderaan perisai di bandar itu.

Kecurian itu berlaku pada malam Ahad di pusat kemudahan yang mengendalikan dan menyimpan wang tunai perniagaan dari seluruh wilayah itu, menurut laporan berkenaan sambil menambah bahawa pecah masuk itu digambarkan sebagai rumit dan mengesyaki kru pencuri berpengalaman yang tahu bagaimana untuk mendapatkan akses ke kemudahan berkenaan dengan selamat tanpa disedari.

Rompakan tunai terbesar sebelum ini di Los Angeles adalah pada 12 September 1997 sebanyak AS$18.9 juta dari bekas tapak kemudahan berperisai di bandar itu, menurut laporan akhbar berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!