Ketua keselamatan kedai serbaneka didakwa beri salinan polis palsu

Mathuews (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat bersama isterinya, bagi menghadapi satu pertuduhan memberi salinan laporan polis palsu, dua bulan lalu.
Mathuews (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat bersama isterinya, bagi menghadapi satu pertuduhan memberi salinan laporan polis palsu, dua bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ketua keselamatan kedai serbaneka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan memberi salinan laporan polis palsu, dua bulan lalu.

Mathuews Anne Jerome, 46, selaku orang kena saman (OKS) yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja berwarna putih, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memberi laporan kepada Inspektor Khairul Hazran Mazalan, iaitu maklumat salinan laporan polis yang palsu, dengan niat menyebabkan pegawai tersebut mengambil tindakan terhadap maklumat.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada jam 7.10 petang, 22 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Elizabeth Mai yang mewakili Mathuews merayu kadar itu dikurangkan kerana dia perlu menyara isteri dan empat anaknya.

"Anak sulungnya kini melanjutkan pelajaran di kolej manakala tiga lagi masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga mempunyai penyakit tiroid dan memerlukan rawatan susulan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!