Pelajar keracunan makanan diberi cuti khas tiga hari

Gambar hiasan keracunan - Foto 123rf (Gambar kecil: Tosrin Jarvanti)
Gambar hiasan keracunan - Foto 123rf (Gambar kecil: Tosrin Jarvanti)
A
A
A

KLUANG - Pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ), di sini diberikan cuti khas selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis, susulan kes keracunan makanan melibatkan seramai 120 pelajar sekolah itu pagi semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor Tosrin Jarvanti berkata, cuti berkenaan hanya diberikan kepada pelajar sahaja manakala guru serta kakitangan sekolah itu diminta bertugas seperti biasa.

Katanya, pihak sekolah juga diminta untuk memantau perkara terbabit sehinggalah semua pelajar pulang ke rumah masing-masing dan kemudiannya pemakluman kepada ibu bapa untuk anak mereka mendapatkan rawatan susulan akan diberikan.

“Pihak jabatan kesihatan telah mengambil sampel makanan sarapan pagi di dewan makan sekolah untuk mengenal pasti punca sebenar kes keracunan seperti yang didakwa sehingga mengakibatkan lebih 100 pelajar mengalami sakit perut dan muntah-muntah.

“Dewan makan ini juga telah diarahkan tutup selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Tosrin lagi, pihak sekolah juga diminta untuk mencari alternatif lain berkaitan penyediaan makanan kepada pelajar sekolah berkenaan, memandangkan dewan makan sekolah itu telah diarah tutup selama 14 hari.

“Kita juga telah menyerahkan kes ini kepada pihak berkaitan (jabatan kesihatan) untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 120 pelajar SMKJ Kluang keracunan makanan

Artikel Berkaitan:

Semalam, 120 orang pelajar SMAKJ dekat sini mengalami keracunan makanan selepas dipercayai menikmati sarapan mi goreng di dewan asrama sekolah berkenaan pagi semalam.

Bagaimanapun, kesemua pelajar itu, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!