Raja Permaisuri Agong kenang kembali memori Ramadan di Kuala Kangsar

Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mengenang kembali zaman kanak-kanak semasa malam Ramadan di kampung halaman Seri Paduka Baginda di Kuala Kangsar, Perak.

Raja Zarith Sofiah menyifatkan Ramadan, terutamanya pada 10 malam terakhir sebagai mengujakan dan menyeronokkan walaupun pada masa itu, Seri Paduka Baginda tinggal di bandar yang sunyi, sepertimana digambarkan orang ramai tentang Kuala Kangsar.

Ketika itu, Seri Paduka Baginda masih mengingati bahawa bandar berkenaan menyambut dan meraikan "Malam 27" (dianggap satu daripada 10 malam Lailatul Qadar), dengan pertandingan rumah dihiasi lampu terbaik.

"Kakanda saya akan membawa kami melihat semua rumah yang dihiasi lampu kelap-kelip berwarna-warni. Kami akan cuba meneka rumah mana yang paling cantik dan akan menang!

"Kami juga suka ke taman pada waktu malam bermain bunga api. Kami merenung pada percikan bunga api di tangan dan merasakan seolah-olah kami menjadi ahli silap mata.

"Kemudian, kami menggerakkan tangan ke atas, ke bawah dan berpusing, dan membuat tarian bunga api di langit malam!" titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran yang dikongsikan melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat.

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Raja Zarith Sofiah juga bertitah bahawa menghabiskan masa di taman adalah lebih baik berbanding menonton televisyen pada masa itu kerana saluran terhad ketika 60-an dan 70-an.

Artikel Berkaitan:

"Hanya dua saluran televisyen! Tiada Astro, tiada Netflix, tiada YouTube, tiada Apple TV," titah Seri Paduka Baginda.

Walaupun kehidupan lebih sederhana pada waktu itu, Raja Zarith Sofiah bertitah Seri Paduka Baginda dan adik-beradiknya amat gembira dan berpuas hati dengan apa yang ada.

"Bagaimanapun, betapa menariknya kehidupan kita sekarang, saya tidak akan menggantikan kegembiraan zaman kanak-kanak semasa malam Ramadan di kampung halaman di Kuala Kangsar, dengan sesuatu yang lebih megah," titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofiah kemudian menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada mereka yang meraikannya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!