Cuaca panas tidak halang orang ramai beli kelengkapan Aidilfitri
KOTA BHARU - Cuaca panas melampau di negeri ini tidak menghalang orang ramai di bandar ini keluar membeli kelengkapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada Rabu minggu depan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pusat membeli-belah di Tunjong mendapati ramai ibu bapa keluar lebih awal membawa anak-anak mendapatkan keperluan meraikan Aidilfitri.
Ibu kepada tiga anak, Sazlina Said, 44, mengakui membeli beberapa keperluan hari raya di saat akhir untuk tiga anaknya.
"Pakaian raya untuk saya dan anak perempuan pula dibeli lebih awal secara dalam talian kerana lebih murah serta banyak pilihan.
"Hari ini saya membawa mereka membeli kasut dan kami akan pulang lebih awal kerana cuaca panas dan bimbang dengan kesihatan terutama ketika berpuasa," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.
Sazlina yang juga penerima bantuan e-kasih memberitahu, tidak akan keluar membeli barangan hari raya selepas ini kerana mahu mengelak kesesakan dalam keadaan kemarau.
Rakannya, Salwani Hanafi, 32, pula membeli pakaian baharu untuk tiga anaknya pada Jumaat (hari ini) kerana tidak mahu bersesak dengan perantau yang dijangka pulang pada Sabtu.
Dia yang tinggal di Palekbang, Tumpat mengambil keputusan keluar awal pagi bersama keluarga memandangkan keadaan cuaca akan panas terik selepas jam 10 pagi.
Salwani juga memberitahu, tidak sibuk membeli bahan mentah untuk membuat biskut atau kuih raya kerana lebih senang menempah dengan rakan-rakan.
"Selain itu, banyak kuih raya yang lebih murah di pasaran berbanding bahan-bahan mentahnya. Lagipun menu itu hanya hidangan sampingan kerana saya lebih suka memilih makanan mengenyangkan seperti roti jala atau nasi," katanya.
Sementara itu, promoter jualan sambilan di sebuah pusat membeli-belah, Syamira Sulaiman, 24, tidak menang tangan melayan pelanggan di tapak jualannya.
Katanya, kedai pakaian itu mula dipenuhi pelanggan sejak dua minggu lalu dan kini jumlahnya semakin meningkat setiap hari.
"Saya perlu menggantung stok pakaian setiap hari kerana mereka mula menyerbu kedai bermula tengah hari sehingga malam untuk membeli pakaian hari raya," katanya.
Tambah Syamira, orang ramai juga berpeluang membeli-belah lebih lama kerana pihak pengurusan pasar raya menambah waktu 30 minit untuk membeli keperluan Aidilfitri.
"Bagi mereka yang mungkin mengalami masalah berdepan cuaca panas boleh datang membeli baju raya pada waktu malam," katanya.
Untuk rekod, laman web Jabatan Meteorologi mencatatkan suhu sehingga 33 darjah celcius di sekitar bandar Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!