Temui ajal ketika dalam perjalanan ke hospital
SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 259.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara sebelum susur keluar tol Seremban-Port Dickson di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6.23 pagi itu dipercayai berlaku selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mangsa, Lok Kau, 74, yang dipandu adiknya, Low Yet Siong, 67, terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Penguasa Bomba Kanan (PBK) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai ditugaskan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Sebaik sampai didapati mangsa tersepit di bahagian 'dashbord' dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang buat pemeriksaan.
"Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian duduk penumpang hadapan," katanya.
Menurutnya, Yet Siong pula dihantar HTJ untuk rawatan lanjut akibat cedera ringan pada bahagian kepala, muka dan dada manakala Lok Kau diserahkan kepada polis.
Mohd Syazwan berkata, Yet Siong memberitahu dia dari Tampin menuju ke Hospital Serdang, Selangor untuk menemani abangnya itu membuat pemeriksaan rawatan penyakit kanser.
"Dia memberitahu ketika itu lebuh raya berkenaan agak gelap dan sebaik sampai di lokasi kenderaannya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan mengakibatkan berpusing dan terbabas ke tengah jalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!