Guna pengalaman kerja kedai kek hasilkan biskut raya

Nur Shahirah Nadiah menunjukkan biskut raya keluarannya.
Nur Shahirah Nadiah menunjukkan biskut raya keluarannya.
A
A
A

SETIU - Pengalaman bekerja di kedai kek lima tahun lalu dimanfaatkan sebaiknya oleh seorang ibu tunggal untuk menghasilkan biskut raya sehingga mampu meraih pendapatan sampingan lebih RM3,000.

Nur Shahirah Nadiah Mohd Supe, 29, berkata, dia tidak menyangka usaha dilakukan itu berbaloi dan mendapat permintaan tinggi.

Nur Shahirah Nadiah berkata, dia menerima tempahan kira-kira 200 bekas kuih raya dalam tempoh dua minggu sejak awal Ramadan lalu.

"Ini kali pertama saya cuba hasilkan kembali biskut raya menggunakan kemahiran yang saya peroleh ketika bekerja di kedai kek pada 2019.

"Walaupun kali pertama cuba jual biskut ini, saya bersyukur sebab dapat permintaan tinggi.

"Saya tak sangka dengan buat kuih raya ini maka dapat cari rezeki lebih untuk menampung serba sedikit perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Binjai Manis di sini pada Jumaat.

Ibu kepada dua cahayamata itu berkata, walaupun tempahan biskut raya telah ditutup sejak minggu lalu, permintaan terhadapnya masih ada.

Ujarnya, perniagaan kuih raya agak sengit kerana perlu bersaing dengan ramai pengusaha biskut raya yang lebih berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

"Untuk saya yang baru menceburi bidang perniagaan ini, jualan biskut raya agak mencabar kerana persaingan tinggi malah ada peniaga yang boleh menawarkan harga lebih murah.

"Apapun bagi saya ia merupakan cabaran yang menjadi pembakar semangat sebagai permulaan untuk saya jadikan sebagai sumber pendapatan tetap selepas ini," ujarnya.

Nur Shahirah Nadiah menghasilkan sebanyak 11 jenis biskut raya antaranya tart nanas, almond London, coklat chip, biskut bangkit 'cheese' dan biskut Arab.

Biskut berkenaan dijual antara RM22 sehingga RM38 sebekas mengikut jenis dan kuantiti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!