Pemandu pacuan empat roda langgar Zuhal, Marikh ditahan
SUNGAI SIPUT - Polis berjaya menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang disyaki terbabit dalam insiden langgar lari yang mengorbankan dua beradik di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak Jaya di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun sekitar jam 1.20 petang.
"Suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu telah ditahan dan ujian awal saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.
"Kita juga telah mengambil sampel darah suspek untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut. Kenderaan suspek turut dirampas," katanya.
Menurut beliau, permohonan reman akan dibuat pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kejadian jam 7.12 pagi itu, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru.
Mohd Khaizam berkata, dalam kejadian itu, suspek memandu arah Kuala Kangsar ke Ipoh didapati memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.
"Kenderaan terbabit telah merempuh motosikal yang dinaiki dua pelajar terbabit menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan 'polytrauma with suspected neck injury/ cervical fracture'," katanya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!