16 individu ditahan libat kes tangkapan lelaki Israel

Razarudin.
Razarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 individu telah diberkas polis setakat Jumaat, untuk siasatan susulan penahanan seorang lelaki warga Israel dengan rampasan enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini pada 27 Mac lalu.

Mereka yang ditahan termasuklah suspek utama iaitu Shalom Avitan, 38; pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu Shalom.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain itu, dua lelaki warga Turki berusia 29 dan 40 tahun dan seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun juga antara suspek yang diberkas.

"Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

"Mereka ditahan dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara berdasarkan risikan, siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, penahanan terbabit juga hasil kerjasama dan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto.

Setakat ini, tangkapan hasil siasatan oleh JSJK itu dipercayai diperoleh berdasarkan penjejakan pembayaran senjata api antara suspek dan pasangan suami isteri tempatan yang membayar menggunakan mata wang kripto.

Jelasnya, sebahagian mereka ditahan reman bermula Khamis, manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini polis juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif dan tujuan sebenar suspek utama memiliki enam pucuk pistol," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin turut memaklumkan pasangan suami isteri yang tamat reman pada Jumaat telah disambung reman.

"Pasangan itu disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini (Jumaat)," katanya.

Pada Selasa, Razarudin dalam sidang media khas menyatakan bahawa siasatan terhadap Shalom dibuat terhadap semua sudut dan kemungkinan yang ada termasuk bermotifkan ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan diplomat asing, pemimpin-pemimpin Hamas (Palestin) yang ada di negara ini serta keselamatan rakyat negara ini sendiri.

Susulan penahanan suspek berusia 36 tahun, polis telah menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru selain dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!