Pulau Pinang dijangka capai sifar miskin tegar 1 Jun ini

Anwar (kiri) hadir mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang sempena lawatannya di Komtar hari ini. Foto Bernama
Anwar (kiri) hadir mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang sempena lawatannya di Komtar hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang dijangka mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 1 Jun tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan sentiasa mengutamakan bantuan untuk golongan berpendapatan rendah dan mereka di bawah garis kemiskinan tegar.

"Keutamaan diberikan untuk kategori keluarga di bawah kemiskinan tegar, dengan kerjasama kerajaan negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ia (isu kemiskinan tegar) telah diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Maknanya 1 Jun tahun ini, Pulau Pinang akan catat kosong kemiskinan tegar, itu satu yang amat membanggakan," katanya selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Jumaat.

Beliau disambut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pimpinan kerajaan negeri di Lobi Komtar pada jam 2.30 petang.

Dalam pada itu, beliau telah meluluskan peruntukan RM11 juta serta-merta bagi menaik taraf Klinik Desa Bayan Lepas.

"Selain perbincangan mengenai projek dan pembangunan lain di Pulau Pinang, terdapat juga projek kecil yang penting untuk rakyat seperti Klinik Desa Bayan Lepas yang memerlukan pembiayaan untuk dinaik taraf.

"Ketua Menteri dan kerajaan negeri mengemukakan beberapa isu yang perlu diberi keutamaan dan yang penting kerajaan negeri tahu bahawa Kerajaan Persekutuan juga ambil tahu mengenai beberapa projek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar menambah, antara keputusan lain yang dibuat adalah mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang patut disegerakan kerana ia sudah terlalu sesak dan tertangguh sekian lama.

"Begitu juga dengan projek LRT, ia perlu disegerakan dengan bantuan (kerajaan Pusat) mengikut perancangan kita," katanya.

Sementara itu Anwar berkata, penekanan juga diberikan terhadap pelaksanaan kerajaan negeri memacu pertumbuhan ekonomi melibatkan sektor-sektor berkeupayaan tinggi yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Tugas kita adalah untuk bekerjasama antara agensi negeri dan kerajaan Pusat dan juga tekankan tentang perniagaan di peringkat rendah supaya rakyat di bawah juga berpeluang untuk menikmati bersama kemajuan yang sangat membanggakan di Pulau Pinang.

"Kita juga bangkitkan mengenai soal pertanian, nelayan yang mana kerajaan Pusat juga akan beri tumpuan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!