Aidilfitri: Tiket ETS ke utara, tren ELA ke pantai timur habis dijual
KUALA LUMPUR - Semua tiket melibatkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) menghala ke utara dan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) ke pantai timur telah habis dijual sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia melibatkan penjualan sebanyak 119,880 tiket ETS bagi tempoh perjalanan 4 hingga 15 April dan 952 tiket ELA oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Beliau berkata, berikutan permintaan tinggi bagi perkhidmatan ETS, KTMB telah menyediakan enam tren tambahan bagi tempoh sama melibatkan masing-masing dua perkhidmatan bagi laluan KL Sentral - Padang Besar - KL Sentral; KL Sentral - Butterworth - KL Sentral dan KL Sentral - Ipoh - KL Sentral.
"Sehingga hari ini, tren tambahan ETS yang menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari atau keseluruhan 15,120 tiket termasuk tren ekspres ETS itu juga laris dengan sebanyak 12,853 tiket atau bersamaan 85 peratus telah terjual sejak 22 Mac lepas.
"Bagi perjalanan ke utara akan melibatkan 32 perkhidmatan ETS sehari untuk semua laluan dan berakhir di Padang Besar manakala Tren Khas ELA yang akan berhenti di 17 buah stesen akan berakhir di Tumpat,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan Pek Hari Raya kepada penumpang KTMB di KL Sentral di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kekerapan bagi perkhidmatan tren komuter KL Sentral ke Tanjung Malim dan sebaliknya pada waktu puncak akan bertukar kepada setiap 15 minit bermula 20 April berbanding setiap 60 minit ketika ini.
Katanya, ia akan melibatkan tujuh perjalanan bagi perjalanan waktu puncak sebelah pagi (7-9 pagi) dari Tanjung Malim ke KL Sentral dan enam perjalanan pada waktu puncak sebelah petang (5 petang-7 malam) membabitkan KL Sentral ke Tanjung Malim.
"KVDT1 (Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu) merangkumi penyiapan kerja-kerja landasan dan infra di sektor Rawang- KL Sentral telah selesai Ahad lepas jadi ia memberi laluan kepada frekuensi laluan trek lebih kerap (15 minit) pada waktu puncak.
"Buat masa ini kekerapan frekuensi setiap 15 minit itu hanya pada waktu puncak sahaja dan kita jangka menjelang Jun atau Julai kekerapan itu akan dilakukan sepanjang hari, saya harap ini akan meningkatkan kapasiti pengguna, lebih ramai terima manfaat dalam laluan ini,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!