Kerajaan Madani ketengah lebih banyak ikhtiar jadikan Malaysia lebih makmur, adil - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Madani akan mengetengahkan lebih banyak ikhtiar dalam usaha menjadikan Malaysia lebih makmur dan adil untuk semua.
Beliau berkata, Ekonomi Madani yang dirangka oleh kerajaan bukan sahaja menekankan keperluan memartabatkan sepelusuk rakyat malah beriltizam untuk meningkatkan keberkesanan kewangan dan ekonomi Islam dalam memelihara rakyat.
Menyentuh mengenai majlis memeterai perjanjian strategik antara Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) yang disaksikan beliau pada Jumaat, Anwar berkata, ia adalah program untuk membantu pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerima produk perancangan pewarisan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui SPNB menawarkan Program RMR khususnya kepada golongan isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri yang sempurna dan selesa.
"Alhamdulillah dengan adanya perjanjian ini, pemilik Rumah Mesra Rakyat akan secara automatik ditawarkan produk terpilih AmanahRaya sebagai perancangan pewarisan seperti hibah dan wasiat ke atas harta tersebut.
"Ini adalah sebagai nilai tambah kepada produk SPNB terutama Program RMR dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa hadapan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu juga, perihal wasiat akan dapat dipermudah tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dengan kos guaman tinggi sekali gus perlindungan untuk yang tersayang turut terjamin. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!