Dua anggota polis ditahan disyaki terlibat kes peras ugut
JOHOR BAHRU - Dua anggota polis ditahan selepas dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki membabitkan nilai RM2,000 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Selasa.
Penahanan kedua-dua anggota polis berusia antara 32 hingga 35 tahun itu dibuat pada Jumaat, susulan laporan dibuat oleh mangsa.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mangsa mendakwa ketika melalui pemeriksaan di BSI, dia telah ditahan dua anggota polis terbabit kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
"Anggota polis tersebut telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang sebanyak RM2,000 bagi mengelak ditangkap dan ditahan di lokap polis.
"Mangsa yang berusia 29 tahun itu membuat laporan polis sekitar jam 12.23 tengah malam pada Jumaat.
"Susulan itu, dua anggota polis terbabit ditahan pada jam 1.50 petang pada hari yang sama dan ujian saringan air kencing negatif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan reman akan dipohon pada pagi Sabtu.
"Polis Johor komited memerangi isu integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!