Tak pernah termimpi miliki kereta sendiri

Neng Ayu (kiri) menerima geran pemilikan kenderaan daripada Chun Kuang
Neng Ayu (kiri) menerima geran pemilikan kenderaan daripada Chun Kuang
A
A
A

KUANTAN - Tidak pernah termimpi bagi seorang ibu tunggal untuk memiliki dan memandu kereta milik sendiri bagi kegunaan mencari rezeki.

Bagaimanapun kesulitan hidup, Neng Ayu Astuty Afandi, 37, dalam mencari sesuap nasi menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang, apabila membeli sebuah kereta jenis Proton Iswara terpakai menjelang Aidilfitri.

Pemberian itu bermula selepas Neng Ayu meminta bantuan untuk memperoleh sebuah mesin pengadun doh industri dengan pejabat ADUN Semambu bagi menambah punca pendapatannya beberapa bulan lalu.

Susulan itu, beliau mengakui terkejut selepas wakil rakyat itu menghubunginya sekitar tengah hari tadi dan memaklumkan akan menyerahkan sebuah kereta kepadanya.

"Semuanya ini bagaikan mimpi dan (hati) saya sangat tersentuh.

"Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki kereta sendiri kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Hari ini saya terkejut apabila YB (Yang Berhormat) Chun Kuang memberitahu saya bahawa dia akan datang sendiri untuk menghantar kereta dan saya hampir menangis ketika menerima kunci kereta tersebut," ketika temui ditemui selepas menerima kunci kereta tersebut di rumahnya di Taman Impianku di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Neng Ayu memandu kereta sambil ditemani Chun Kuang sebaik sahaja menerima kenderaan tersebut.
Neng Ayu memandu kereta sambil ditemani Chun Kuang sebaik sahaja menerima kenderaan tersebut.

Ibu kepada tiga orang anak yang melakukan pelbagai pekerjaan bagi mencari rezeki itu memberitahu, kehidupan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya daripada hasil jualan kuih.

Malah, Neng Ayu turut melakukan pekerjaan lain dengan bekerja sebagai pembantu gerai makanan, di samping menjadi penghantar sambilan dengan menggunakan motosikal rakan.

Kongsinya, beberapa bulan lalu, beliau meminta bantuan bagi mendapatkan sebuah mesin pengadun doh industri bagi memudahkan urusan penjualan kuih.

Katanya, hasil air tangan akan dihantar ke gerai berdekatan kawasan kejiranan dan membuat penghantaran sekiranya menerima tempahan pelanggan.

"Saya ada menerima banyak tempahan dan selalu bergantung kepada khidmat penghantar makan. Pernah berlaku kelewatan menghantar pesanan sehingga menyebabkan pelanggan membatalkan pesanan.

"Saya tidak ada pilihan kerana tidak mempunyai pengangkutan sendiri dan terpaksa bergantung kepada orang lain tapi kini saya sudah boleh menghantar kuih ke gerai dan hantar pesanan pelanggan," jelasnya yang menyara tiga anak masih bersekolah.

Menjawab persiapan raya, Neng Ayu mengakui masih belum membuat sebarang persiapan termasuk membeli pakaian baharu buat anak-anaknya.

"Hari raya kami sambut secara sederhana kerana terdapat perbelanjaan lain yang lebih penting seperti persediaan sesi persekolahan anak-anak.

"Saya juga perlu menyimpan wang untuk yuran penginapan anak lelaki saya dan makanannya di Kuala Lumpur.

"Saya harap apabila anak-anak sudah dewasa, mereka akan mendapat pekerjaan yang baik dan menjaga keluarga supaya kita semua boleh merayakan Hari Raya dalam keadaan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Chun Kuang berkata, pemberian bantuan kereta adalah untuk memudahkan Neng Ayu dalam urusan mencari rezeki.

"Jika saya berikan dia mesin pengadun, mungkin hanya meningkatkan pengeluaran (kuih) tetapi dia masih perlu bergantung kepada orang lain untuk menjualnya.

"Disebabkan itu saya memutuskan untuk memberikannya ​sebuah kereta.

'Biarpun yang terpakai​ tapi dia boleh menghantar ​sendiri kuih ke gerai dan lebih mudah untuk memenuhi pesanan pelanggan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!