Kebakaran gudang: SESB dipercayai rugi RM40 juta

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipercayai kerugian kira-kira RM40 juta susulan kejadian kebakaran di gudang penyimpanan kabelnya di Jalan Menggatal dekat sini semalam.

Pengerusinya, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, kebakaran yang bermula tengah hari memusnahkan sebilangan besar gulungan kabel yang disimpan di gudang SESB itu yang kebanyakannya digunakan untuk membuat sambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.

Beliau berkata, disebabkan kejadian itu SESB terpaksa menempah semula kabel yang musnah dan akan menilai situasi tersebut selepas operasi pemadamanan selesai.

"Ini kejadian malang memandangkan ia memberikan impak kepada usaha kita mahu memberikan prasarana elektrik terbaik untuk penduduk di Sabah.

"Bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat kami memberi terbaik untuk rakyat negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini pada Jumaat.

Mengenai operasi pemadaman yang masuk hari kedua pada Jumaat, beliau berkata, sumber air merupakan cabaran terbesar operasi itu berikutan kekurangan air di pili bomba dan parit berhampiran, malah bomba terpaksa mendapatkan bekalan air di kawasan sekitar 1 kilometer dari tempat kejadian.

"Operasi pemadaman ini memerlukan tekanan air yang tinggi jadi kita perlukan sumber air yang besar,” katanya.

Pada Khamis dilaporkan kebakaran memusnahkan 1.21 hektar kawasan gudang dan sebuah rumah kosong, manakala stor penyimpanan transformer, minyak Hyraxoil, mesin peti pembekal dan sebuah bangunan terselamat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!