Dividen Simpan SSPN 3.6 peratus
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 3.6 peratus bagi tahun 2023 dengan peruntukan berjumlah RM357.65 juta.
Dalam satu kenyataan media hari ini, tabung pendidikan itu memaklumkan, jumlah tersebut memberi manfaat kepada 6.25 juta akaun. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sebanyak RM1.69 billion sejak skim Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.
"Pemberian dividen 3.6 peratus bagi 2023 adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 3.05 peratus.
"Dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan menerusi aplikasi myPTPTN bermula 6 April ini," katanya menerusi kenyaaan pada Jumaat.
Pengagihan dividen Simpan SSPN diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sambil disaksikan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Selain itu menurutnya, ia turut disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan berjumlah RM446.22 juta pada tahun berkenaan.
"Prestasi pelaburan terus meningkat tahun ini berdasarkan pencapaian suku pertama yang lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Peningkatan kadar dividen ini juga bersesuaian dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang meningkat sebanyak 0.25 peratus.
"Kadar dividen ini juga kompetitif kerana lebih tinggi berbanding keuntungan akaun simpanan dan simpanan tetap di bank tempatan antara 2.05 peratus sehingga 3.45 peratus," jelasnya.
Jumlah keseluruhan deposit terkumpul diterima semenjak tahun 2004 sehingga 31 Disember 2023 pula berjumlah RM17.39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun.
"Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan lain turut ditawarkan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun.
"Selain itu turut ditawarkan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!