Umpama gunung runtuh

Kawasan bangunan yang runtuh ditutup berikutan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Hualien pada Rabu lalu. - EPA
Kawasan bangunan yang runtuh ditutup berikutan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Hualien pada Rabu lalu. - EPA
A
A
A

TAIPEI - Pada pagi Rabu lalu, Taiwan digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud di pantai timur pulau itu yang merupakan terkuat dalam tempoh 25 tahun.

Sebelum kejadian itu, Taiwan pernah dibadai gempa bumi paling dahsyat pada tahun 1999 yang mengorbankan 2,415 nyawa. Dua tahun lalu pula menyaksikan seramai 171 orang maut apabila gempa bumi berlaku di Taitung.

Beberapa siri gempa bumi turut berlaku sebelum itu yang mana pada tahun 2010, seramai 96 orang maut apabila gempa bumi berlaku di Kaohsiung.

Tiga tahun kemudian, Taiwan kembali digegarkan dengan gempa bumi sehingga meragut nyawa 97 orang diikuti bencana di Kaohsiung pada 2016 menyaksikan 550 orang terbunuh.

Gempa bumi kali ini berlaku pada pukul 7.58 pagi (waktu tempatan), dengan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan pusat gempa 18 kilometer (km) di selatan bandar Hualien, Taiwan dan pada kedalaman 34.8km.

Gegaran akibat gempa itu dirasai di seluruh pulau tersebut termasuk ibu kota Taipei, selain sebahagian Jepun dan pantai timur tanah besar China termasuk Shanghai, Suzhou, Shenzhen, Guangzhou dan Shantou, lapor akhbar South China Morning Post.

Beberapa ketulan batu besar menghalang sebahagian jalan di bahagian lebuh raya di Taichung selepas gempa bumi besar melanda timur Taiwan. - AFP
Beberapa ketulan batu besar menghalang sebahagian jalan di bahagian lebuh raya di Taichung selepas gempa bumi besar melanda timur Taiwan. - AFP

Malah, amaran tsunami yang meluas sehingga ke Jepun dan Filipina turut dikeluarkan pada pagi itu sebelum ia ditarik balik pihak berkuasa tempatan selepas waktu tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan telah terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera dalam gempa bumi yang teruk melanda kawasan perairan destinasi pelancongan popular Hualien di timur Taiwan itu.

Sejak hari pertama kejadian gempa bumi itu, pihak berkuasa dan anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih terselamat dalam runtuhan bangunan termasuk kediaman mereka.

Kini memasuki hari ketiga pada Jumaat, anggota penyelamat khususnya pasukan bomba terus giat mencari mangsa. Malah, mereka terus bekerja tanpa henti demi menyelamatkan setiap nyawa.

Penduduk yang terselamat juga tidak putus-putus berdoa sambil menyaksikan petugas melakukan kerja menyelamat di sebuah gudang yang runtuh di Hualien.

Bagi seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Liu, dia dan seluruh ahli keluarganya bersyukur apabila terselamat daripada bencana gempa bumi itu.

“Apa yang boleh saya katakan, gempa bumi kali ini umpama gunung runtuh... ia berlaku sekelip mata di hadapan saya. Mujur kami sekeluarga sempat melarikan diri.

“Jika kami lewat beberapa minit, mungkin kami juga menjadi mangsa yang maut. Takziah saya ucapkan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat kejadian gempa bumi ini,” katanya.

Dalam pada itu, kebanyakan penduduk kembali menjalankan rutin dan aktiviti harian mereka sekalipun masih ada yang trauma akibat bencana gempa bumi tersebut.

“Kami harus bekerja seperti biasa untuk meneruskan kehidupan. Bencana gempa bumi ini menjadi satu lagi amaran kepada kami semua lebih berhati-hati.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, gempa bumi sering berlaku dan ia masih trauma buat kami. Apapun kehidupan harus diteruskan,” ujar Xeng Fei yang kini menginap di khemah sementara buat mangsa gempa bumi. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!