Operasi kutipan sampah ikut jadual
SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menjalankan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor seperti biasa mengikut jadual kutipan yang ditetapkan sepanjang tempoh Aidilfitri dan selepas perayaan itu.
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, beberapa kawasan yang dijangkakan berlaku penjanaan sampah yang tinggi akan diberi perhatian lebih.
Bagaimanapun, menurutnya, kutipan pada malam raya pertama di mana pergerakan lori kompaktor akan bermula jam 2 pagi sehingga selesai bagi memudahkan pemandu dan kru yang beragama Islam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Pada pagi raya pertama, pergerakan lori kutipan akan bermula selepas pemandu dan kru yang beragama Islam selesai menunaikan solat sunat tersebut.
“Pelupusan sisa ini akan dilupuskan seperti biasa di tapak pelupusan kendalian Worldwide (WW) dan Bukit Tagar mengikut jadual operasi mereka.
“Jadual kutipan kembali normal selepas hari kedua sambutan hari raya dan hari yang seterusnya. KDEBWM sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak pengendali pelupusan agar jadual operasi mereka tidak terlalu ketat dan memudahkan kerja pelupusan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Kutipan Sisa Pepejal Pada Hari Raya Aidifitri 2024 di Ibu Pejabat KDEBWM, di sini pada Jumaat.
Tambah Ramli, bagi penambahbaikan dari segi operasi, KDEBWM akan mengukuhkan pemantauan di lapangan iaitu mewajibkan penyelia tapak di setiap zon memantau dan berada di kawasan masing-masing pada malam perayaan itu.
Ujarnya, penggiliran kerja bagi kesemua 300 penyelia yang berada di 12 operasi cawangan lebih teratur dan sistematik serta praktikal dilakukan agar pemantauan kerja-kerja operasi di lapangan berjalan lancar.
“Terdapat banyak lori kompaktor lama kepunyaan subkontraktor yang boleh digunakan sebagai aset sokongan jika diperlukan untuk menampung limpahan sisa domestik tetapi pihak KDEBWM menjangkakan ia tidak bertambah dengan banyak sehingga penduduk yang pulang berhari raya di kampung kembali pada minggu kedua dan seterusnya.
“Pihak KDEBWM juga tidak akan menyediakan tong sampah Roll On Roll Off (RORO) dalam tempoh seminggu pertama Aidilfitri.
“Orang ramai juga boleh memohon kutipan pukal melalui aplikasi iClean Selangor di mana KDEBWM akan memproses permohonan berkaitan sisa pepejal dalam tempoh 24 jam agar ia dapat diurus dengan lebih tersusun, sistematik dan pantas,” jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!