Rasai nikmat buka puasa bersama
KUALA NERUS - Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin yang diadakan di pekarangan Mydin Gong Badak di sini memberikan pengalaman baharu dan berharga kepada pelajar tahfiz yang diundang untuk berbuka puasa bersama.
Timbalan Mudir Madrasah Seberang Tuan Chik, Faiz Najmuddin Abd Halim berkata, kebanyakan pelajar terlibat terdiri dalam kalangan hafiz al-Quran, asnaf dan fakir miskin.
“Kami bersyukur kerana hari ini seramai 30 orang anak-anak tahfiz dari madrasah ini dijemput untuk menghadiri Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin di Mydin Gong Badak.
“Banyak input yang anak-anak kita dapat daripada program ini kerana ia turut melibatkan ceramah motivasi, perkongsian hal berkaitan kepenggunaan dan penyertaan masyarakat, jadi kita dapat memberikan pendedahan anak-anak ini kepada masyarakat setempat.
“Di samping itu mereka juga dapat merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai dengan masyarakat di luar sana berbanding rutin berbuka puasa di madrasah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Faiz Najmuddin memberitahu, sesi ceramah motivasi secara santai oleh Pencetus Ummah (PU), Rahmat Mohd Sofyan menarik minat para pelajar.
“Sesi ceramah secara santai sebenarnya lebih berkesan. Kita harap akan datang program begini dapat diperhebatkan lagi kerana ia memberi input berguna khususnya kepada anak tahfiz kami.
“Dalam masa yang sama kami juga dapat memberi gambaran kepada masyarakat mengenai kewujudan pusat tahfiz ini di mana ia dapat lahirkan anak-anak yang hebat dalam agama dan al-Quran,” katanya.
Jelajah Iftar Ala Madinah Mydin di Mydin Gong Badak yang bermula kira-kira jam 5 petang itu disertai seramai 750 orang termasuk pelanggan pasar raya berkenaan dan komuniti setempat.
Sementara itu, pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Dato Razali Ismail, Megat Aiman Fatihin Megat Abdul Aziz, 22, berkata, seramai 20 ahli kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) institusi itu terlibat dalam menjayakan majlis berbuka puasa beramai-ramai itu.
Katanya, mereka diberi tugas untuk memastikan perjalanan program berjalan lancar serta menyediakan barangan untuk diagih kepada peserta.
Kepercayaan
“Kami diberi kepercayaan penuh oleh pihak Mydin untuk melaksanakan dua program besar pada Ramadan di mana sebelum ini seramai 40 ahli kami terlibat dalam menyediakan 2,500 bungkus bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.
“Kali ini kami diberi kepercayaan untuk menjayakan program ini meliputi aspek protokol dan pelaksanaan serta penyediaan makanan melibatkan 750 peserta,” katanya.
Jelas Megat Aiman Fatihin, GPS IPGM merupakan kelab yang telah bertapak selama tiga tahun dan diiktiraf sebagai kelab terbaik di Terengganu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Tahun lalu kami telah berjaya ke peringkat kebangsaan di mana kelab berada pada kedudukan tiga terbaik peringkat kebangsaan. Oleh itu, misi serta objektif kami kali ini adalah untuk mendapat tempat pertama di peringkat tersebut.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif kami dan di bawah kelab ini kami mengetengahkan elemen pengguna bijak, pengurusan kewangan, kelestarian alam sekitar dan pemakanan sihat yang mana program ini berada bawah pemakanan sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, kelab berkenaan turut memberi fokus terhadap elemen pengguna bijak bagi memastikan orang ramai dapat mengetahui mengenai hak-hak mereka.
“Kita turut terapkan elemen pengguna bijak dengan memberi informasi tentang hak pengguna termasuk aplikasi price catcher yang berada di bawah KPDN bagi memudahkan orang ramai membandingkan harga barangan.
“Dengan adanya pendedahan ini kita percaya orang ramai tidak akan mudah tertipu sekali gus menjadi pengguna yang bijak,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!