Naik pengangkutan awam atau memandu kenderaan sendiri?

Orang ramai sedang beratur bagi mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung menjelang hari raya TBS. Foto hiasan, gambar kecil dari kiri: Nur Dini Athirah, Nazim, Khaleeda, Noorazizah
Orang ramai sedang beratur bagi mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung menjelang hari raya TBS. Foto hiasan, gambar kecil dari kiri: Nur Dini Athirah, Nazim, Khaleeda, Noorazizah
A
A
A

BEBERAPA hari lagi sahaja Ramadan akan melabuhkan tirai, sudah pasti ramai sedang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Berdasarkan ramalan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), sebanyak 2.1 juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya kendalian syarikat itu terutamanya pada 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April ini berbanding 1.82 juta pada waktu puncak hari biasa.Peningkatan jumlah kenderaan itu sudah pasti akan menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa dan mungkin ada yang terpaksa menempuh perjalanan selama 12 jam atau lebih untuk pulang ke kampung.

Bagi melancarkan perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, PLUS akan mengaktifkan laluan smartlane di 18 lokasi kritikal di sepanjang Lebuhraya PLUS berdasarkan jadual ditetapkan dan keadaan semasa trafik.

Begitu juga dengan pengangkutan awam, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan sebanyak 218 bas tambahan pada 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pelbagai maklum balas diberikan oleh orang ramai mengenai alternatif untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.

Ada yang memilih untuk memandu kenderaan sendiri dan ada juga setia menggunakan pengangkutan awam saban tahun.

Masing-masing punyai alasan sendiri kenapa mereka memilih mod pengangkutan tersebut untuk bertemu dengan keluarga di kampung.

SOKONG

Artikel Berkaitan:

Jimat masa, tenaga dan kos

Setelah memikirkan keselamatan diri serta penjimatan kos, saya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Dengan menggunakan pengangkutan awam, saya boleh berehat sepanjang perjalanan dari Selangor ke Pulau Pinang yang memakan masa antara enam hingga lapan jam.

Saya akan pulang dua hari sebelum hari raya sebaik sahaja selesai bekerja dengan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Butterworth, Pulau Pinang.

Selain itu, pilihan tersebut sudah pasti menjimatkan perbelanjaan kerana saya tidak perlu mengeluarkan kos tambahan lain seperti penyelenggaraan kenderaan, tol dan minyak.

Walaupun bergelar pelajar, saya turut melakukan pekerjaan sambilan ketika tiada kelas untuk mencari wang tambahan.

- Pelajar universiti, Khaleeda Kader Mydin, 24.

Kurang risiko kemalangan akibat microsleep

Saya memilih untuk menggunakan perkihdmatan bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini atas faktor keselamatan dan risiko kemalangan.

Perbelanjaan tinggi melibatkan kos minyak untuk pergi dan balik, tol serta penyelenggaraan kenderaan merupakan perkara biasa untuk perjalanan jauh.

Namun, faktor keselamatan sangat penting terutamanya bagi mereka yang berkerjaya kerana berisiko terlibat kemalangan akibat microsleep.

Situasi tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, jadi saya memilih untuk menaiki pengangkutan awam sebagai langkah berjaga-jaga.

Kebiasaannya perjalanan dari Selangor ke Kedah mengambil masa lima hingga enam jam bergantung kepada pemandu bas dan saya memanfaatkan waktu itu untuk berehat.

Kos keseluruhan yang dikeluarkan untuk pulang ke Kedah tidak melebihi RM100, ia sangat berbeza jika memandu sendiri.

- Pekerja swasta, Nur Dini Athirah Fahizar, 25.

BANGKANG

Hindari gangguan seksual

Saya memilih untuk memandu sendiri kerana faktor keselamatan sekali gus mengelakkan diri daripada terlibat dengan isu gangguan seksual yang banyak terjadi ketika menaiki pengangkutan awam.

Banyak kes sudah dilaporkan melibatkan kejadian tersebut dan saya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi salah seorang daripada mangsanya.

Walaupun aliran trafik dijangka meningkat sempena Hari Raya Aidilfitri ini tetapi memandu kenderaan sendiri membolehkan saya menentukan dan merancang masa terbaik untuk pulang ke kampung agar tidak berdepan dengan kesesakan jalan raya yang teruk.

Berbeza dengan pengangkutan awam, masa perjalanan diatur mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana jika terlambat anda akan tertinggal dan tiket bas akan terbatal begitu sahaja.

Di samping itu, memandu sendiri juga dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan pelbagai isu negatif seperti kehabisan tiket, penipuan tiket dan bas tidak muncul sebagaimana yang terpampang di dada-dada akhbar pada setiap tahun.

- Penjawat awam, Noorazizah Mohtar, 25.

Ahli keluarga ramai, barang banyak dibawa

Mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai menjadi faktor kenapa saya memilih untuk memandu sendiri ketika pulang ke kampung sempena hari raya nanti.

Lagipun harga tiket pengangkutan awam bukannya murah kerana kos nya boleh mencecah RM500 untuk sekali perjalanan.

Biasanya perjalanan pulang ke kampung dari Shah Alam ke Batu Pahat memakan masa antara enam hingga lapan jam dan kos yang dikeluarkan lebih kurang RM300 sahaja.

Ditambah pula dengan beg dan barangan yang banyak, saya rasa pilihan untuk memandu kenderaan sendiri adalah alternatif terbaik untuk pulang ke kampung bersama keluarga.

Dengan memandu sendiri saya boleh menentukan sendiri waktu perjalanan dan tidak perlu terburu-buru untuk pulang ke Johor.

- Pensyarah sambilan, Nazim Abdul Rahim, 51.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!