Sudah 2024 tapi masih buang sampah merata-rata
SETIAP kali tiba musim perayaan, kita disajikan dengan berita mengenai sikap segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menjadikan jalan raya sebagai tempat pembuangan sampah.
Terbaharu, sikap pengguna yang mengambil mudah dengan membuang sampah dari kenderaan kembali menjadi sorotan hangat di media sosial.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Zack Yaakub, Alam Flora, memaparkan keadaan Lebuhraya Kuala Lumpur ke Gua Musang dipenuhi sampah gara-gara sikap tidak pembersih ini.
Meskipun peringatan berulang kali dibuat namun mentaliti kelas ketiga itu masih belum boleh diubah.
Sebenarnya, inilah mentaliti sebahagian rakyat yang kononnya mempunyai pendidikan dan bertamadun tetapi tidak mempunyai kesedaran sivik.
Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa mereka tetap melakukannya. Kenapa tidak memasukkan sampah ke dalam beg plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah ketika berhenti di kawasan disediakan di sepanjang jalan atau lebuh raya?
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sebelum ini juga telah mengeluarkan amaran bahawa mana-mana pengguna jalan raya yang didapati membuang sampah dari kenderaan boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, tetapi kejadian sama masih berulang.
JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan sebagai kebiasaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain yang menggunakan jalan berkenaan, namun nasihat ini ibarat mencurahkan air di daun keladi.
Jika diteliti, sudah banyak usaha untuk mengawal persekitaran kita daripada terus menjadi lokasi pembuangan sampah sewenang-sewenangnya.
Namun, semuanya tidak akan mencapai matlamat jika sikap orang ramai yang pengotor dan gatal tangan jika tak buang sampah merata-rata.
Kita kini sudah memasuki tahun 2024, jadilah warganegara yang lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah merata-rata.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!