MCMC siasat pemilik akaun sebar kandungan palsu majlis tilawah
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat beberapa individu berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa tahun 2024.
Suruhanjaya itu memaklumkan, penyebaran kandungan berkenaan dikesan berlaku dalam aplikasi media sosial Facebook menerusi beberapa akaun.
"Empat daripada beberapa pemilik akaun yang disyaki membuat hantaran kandungan tersebut telah dipanggil untuk siasatan dan rakaman percakapan oleh MCMC.
"Semua data yang dimuat naik telah direkodkan sebagai bahan bukti untuk siasatan dan tindakan lanjut," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut MCMC, pihaknya akan memanggil beberapa lagi individu lain bagi membantu siasatan.
Kes terlibat disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!