PLUS guna dron pantau aliran trafik sempena Tahun Baru Cina

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan menggunakan teknologi dron bagi memantau pergerakan trafik di beberapa lokasi yang dikenalpasti di lebuh raya kendaliannya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, penggunaan teknologi dron itu bertujuan memberi maklumat semasa pergerakan dan kelancaran trafik di lebuh raya selain mengoptimumkan penggunaan media sosial.

PLUS menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sepanjang cuti Tahun Baru Cina itu dengan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 1.7 juta pada hari biasa.

“Berdasarkan kajian dan analisis, PLUS menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya akan berada pada tahap tertinggi pada 22 hingga 28 Januari serta 31 Jan dan 1 Feb ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baru Cina di Persada PLUS di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, 5,000 kakitangan PLUS akan bertugas pada musim perayaan itu bagi memastikan trafik terkawal di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

“PLUS dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka laluan kontra di lokasi tertentu namun bergantung kepada keperluan dan keadaan trafik.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong akan dihentikan sementara bagi membolehkan pengguna jalan raya menikmati perjalanan tanpa gangguan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, PLUS juga menasihati orang ramai mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan balik kampung masing-masing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!