Mercun, bunga api bernilai RM1.4 juta dirampas
BAGAN SERAI - Polis merampas 496 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan nilai pasaran berjumlah RM1.4 juta dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di Parit Buntar dan Bagan Serai di sini Ahad lalu.
Serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Daerah Kerian hasil risikan selama seminggu di gudang dan premis jualan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, serbuan dilakukan selepas mendapati premis yang mempunyai lesen itu telah melanggar syarat dengan menyimpan mercun melebihi jumlah yang dibenarkan.
“Serbuan pertama di sebuah gudang di Simpang Lima, Parit Buntar dan merampas 482 kotak pelbagai jenis dengan anggaran rampasan bernilai RM350,000.
“Tangkapan itu membawa serbuan dua premis di Bagan Serai dan menemui 14 kotak mercun dan bunga api bernilai lebih RM2,000.
“Siasatan mendapati kesemua mercun dan bunga api itu dijual dengan harga antara RM20 hingga RM620. Kesemua rampasan dibawa ke IPD Kerian untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, tiga lelaki berusia 26, 47 dan 60 tahun ditahan dan direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek menjual mercun ini sempena sambutan tahun baru dan Hari Raya Cina. Antara yang dirampas adalah happy boom, pop-pop dan ‘assorted celebration cake repeater 198 shot’.
“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menghalang penjualan mercun dan bunga api secara besar-besaran di sekitar daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan,” katanya.
Omar Bakhtiar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan yang boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!