Aidilfitri sayu tanpa anak bongsu
KLUANG - Menjelang Syawal, kepulangan anak-anak di perantauan paling dinanti ibu bapa selepas sebulan berpuasa.
Namun, bagi pasangan suami isteri di Taman Sri Impian, di sini lain pula cerita apabila anak kesayangan hilang tanpa jejak sejak setahun lalu.
Bagi Ishak Khamis, 58, dan Saniah Bebet, 53, dugaan menyelubungi mereka apabila anak bongsu daripada dua beradik, Mohammad Akmal Hakimi, 20, hilang ketika mendaki di Pulau Mawar, Mersing pada Februari tahun lalu.
Menurut Saniah, sehingga kini, masih belum ditemui, sebarang petunjuk meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan pelbagai ikhtiar sudah dilakukan termasuk menggunakan khidmat perubatan Islam.
Malah, dia bersama suami dan anak sulung, Mirza Khusyari, 25, berkunjung hampir setiap bulan ke Pulau Mawar hanya semata-mata ingin 'melihat' Akmal Hakimi yang dirasakan masih berada di pulau itu.
"Kalau saya rindu Akmal, saya akan cium bajunya yang dipakai dan masih disimpan rapi sejak daripada kejadian misteri itu berlaku.
"Apabila tiba Ramadan serta Syawal, saya teringat kenangan bersamanya, sekaligus membuat saya ingin mengetahui mengetahui di mana dia berada sekarang.
"Hanya doa dan selawat membuatkan hati saya tenang dan reda melalui ujian ini walaupun amat memeritkan apatah lagi sehingga kini jasadnya masih belum diketahui nasibnya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, katanya ia bagaikan tiada makna buat mereka dan akan menyambutnya secara ala kadar sahaja.
Jelasnya, detik paling dirindui tatkala anaknya akan meminta supaya memasak masakan kegemarannya iaitu lemang dan rendang.
Akmal yang sedang menjalani cuti semester dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing pada 1 Februari tahun lalu.
Polis kemudiannya menerima laporan berkaitan penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi pada 3 Februari tahun lalu, dan melancarkan SAR jam 5 petang pada hari sama.
Pada 9 Februari, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, SAR melibatkan pelbagai agensi dan aset itu ditamatkan selepas enam hari dijalankan ekoran tidak menemukan petunjuk walaupun pencarian melibatkan kawasan darat dan perairan telah dilakukan.
Sementara itu, bagi Ishak, Akmal yang menuntut dalam pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Marin di UniKL, Lumut, Perak sepatutnya kini sudah pun menjalani latihan praktikal.
Jelasnya, walaupun ganjaran sebanyak RM50,000 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menemui anaknya itu, namun sehingga kini tiada petunjuk yang ditemui.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!