AEON BIG buka cawangan ke-22 di Seremban
[DIKEMAS KINI] RANGKAIAN pasar raya besar terkemuka di negara ini, AEON BIG (M) Sdn Bhd membuka cawangan yang ke-22 di Seremban pada Sabtu.
Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, dikenali sebagai AEON BIG Palm Mall ia merupakan satu pencapaian signifikan bagi syarikat berkenaan selain perluasan rangkaiannya yang pertama sejak 2020.
Menurutnya, ia juga menandakan kepulangan AEON BIG ke Negeri Sembilan selepas sembilan tahun malah usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyediakan pengalaman membeli-belah premium dengan harga berpatutan.
"Lokasi ini merupakan sebuah kawasan baru bagi kami ketika ini sekali gus memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan.
"Falsafah kami adalah untuk mengutamakan pelanggan dan berharap dengan pembukaan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan peruncitan tempatan dan ekonomi bagi Seremban dan kawasan sekitarnya," katanya pada Majlis Pelancaran Pembukaan AEON BIG Palm Mall Seremban di sini.
Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut dihadiri Pengerusi AEON CO (M) Bhd, Datuk Iskandar Sarudin.
Dalam pada itu, Sheikh Farouk berkata, pihaknya juga menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak empat hingga lima peratus menerusi pembukaan cawangan baharunya itu dan pertambahan dua lagi outletnya tahun ini.
"Tahun lepas kita berjaya mencatatkan hasil jualan lebih RM1 bilion dan kami optimis sasaran itu mampu dicapai melihat kepada sokongan pelanggan.
"Selepas pembukaan cawangan ke-22 di Seremban, akan ada pertambahan satu outlet baharu lagi dan dijangka dibuka pada Disember depan selain sekurang-kurangnya dua lagi outlet baharu pada tahun hadapan yang sedang dalam perbincangan," katanya.
Bersempena dengan pembukaan ini, AEON BiG Palm Mall, Seremban menawarkan promosi istimewa selama tiga hari untuk produk terlarisnya dari 5 hingga 7 April ini.
Selain itu, ahli AEON akan menerima hadiah istimewa apabila mereka membeli-belah, manakala ahli yang menggunakan AEON Member Plus Visa Card atau AEON Wallet akan menerima 9x mata untuk semua transaksi.
Acara ini juga menyaksikan penghuluran bantuan dari AEON BiG kepada komuniti Negeri Sembilan dengan pendermaan kepada 60 keluarga kurang berkemampuan dalam bentuk AEON BiG Gift Card, sempena hujung minggu terakhir sebelum Hari Raya.
Acara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah dijayakan dengan kerjasama organisasi pertubuhan amal, Empire Project.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!