Semua ADUN pembangkang Selangor sudah terima peruntukan
KUALA SELANGOR - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor telah menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bermula 1 Mac lalu.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, peruntukan yang pada mulanya berjumlah RM300,000 itu dinaikkan kepada RM400,000 setahun.
Bagaimanapun, ujar beliau, peruntukan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah itu melibatkan projek kecil untuk kepentingan rakyat semata-mata.
"Peruntukan ini tidak boleh digunakan untuk politik, sebaliknya hanya untuk program bersama-sama rakyat yang tidak melibatkan sumbangan tunai," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-Anak Yatim di Gelanggang Futsal Taman Desa Mawar di sini pada Sabtu.
Kira-kira 700 anak yatim di DUN Permatang dan DUN Sungai Burong menerima sumbangan berkenaan.
Nurul Syazwani memberitahu, peruntukan itu dapat digunakan ADUN pembangkang bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Justeru, katanya, politik matang yang diamalkan itu amat baik asalkan semua rakyat dibantu tanpa mengira ideologi politik.
Beliau berkata, pada masa ini, semua pihak perlu mengamalkan politik bersifat lebih terbuka dan beliau sendiri menghadiri program dianjurkan pihak kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak masih mengamalkan politik tidak matang kononnya ADUN pembangkang tidak boleh menghadiri majlis anjuran kerajaan.
"Saya sendiri mengakui berapa kali pernah dihalau kerana hadiri program anjuran kerajaan negeri.
"Bagi saya kalau dengan cara menghadiri program kita boleh berbincang masalah rakyat, itu tak menjadi satu masalah, tapi ada beberapa pihak masih lagi mengamalkan politik jumud," tambah beliau.
Jelas beliau, politik pada masa ini mesti meletakkan kepentingan rakyat lebih utama berbanding kepentingan peribadi.
"Contohnya jika ada isu-isu penting, saya sendiri akan tulis surat menjemput Exco Selangor untuk sama-sama turun padang di kawasan DUN ini.
"Walaupun orang cakap DUN Permatang ini kawasan pembangkang, tetapi macam mana saya boleh bersama-sama Exco DAP untuk selesaikan masalah rakyat," ujar beliau.
Nurul Syazwani menjelaskan, cara berpolitik dahulu mungkin berbeza dengan cara sekarang, selain tidak memerlukan wakil rakyat untuk beralih sokongan semata-mata mahukan peruntukan.
"Kalau kita terpaksa menukar sokongan dan sebagainya, saya rasa itu hanyalah alasan peribadi masing-masing.
"Bagi saya, kita akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa dan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri Selangor ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!