'Kalau takut laksana undang-undang, rakyat jadi mangsa' - NACCOL
SUNGAI PETANI - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mahu Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengambil tindakan tegas terhadap pemain industri yang mengambil kesempatan.
Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tidak timbul isu sabotaj pengedaran bekalan beras bakal berlaku kerana pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang disebabkan rakyat menjadi mangsa.
"Tak mungkin berlaku sabotaj (pengedaran beras) kerana mereka perlu patuhi undang-undang, kalau stok beras (tempatan) ada tapi tukar kampit (label beras import) ambil lah tindakan denda dan sebagainya.
"Kawal Selia Padi dan Beras Negara ada jalan untuk mengusahakannya. Jangan beri alasan takut, itu lah tujuannya kalau kita takut melaksanakan undang-undang maka rakyat akan jadi mangsa," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, keadaan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan tiada penguatkuasaan undang-undang terhadap empat syarikat yang mengawal 80 peratus pengedaran beras di negara ini.
Menurutnya, laporan jumlah pengedaran beras serta harga beras putih import (BPI) yang berada di pasaran perlu didedahkan secara telus untuk pengetahuan rakyat.
"Dalam mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini beliau mengumumkan penurunan harga sebanyak RM2 hingga RM3 tetapi tidak ada sebarang penjelasan yang jelas kepada rakyat daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara.
"Bahagian itu perlu jelaskan harga sebenar BPI antara berapa ringgit, rakyat masih keliru dengan harga BPI, saya minta bahagian ini beri jawapan segera termasuk rekod di mana pergi BPT, berapa kampit BPT dan BPI diedarkan," ujarnya.
Tambahnya, agensi berkenaan juga diminta tidak memberikan alasan bahawa laporan tersebut hanya diberikan kepada menteri dan agensi tertentu sahaja.
"Ini bukan rahsia, ini maklumat yang patut rakyat tahu, jangan susahkan Perdana Menteri, beliau buat keputusan berdasarkan jaminan Ketua Pengarah bahagian berkenaan," katanya lagi.
Pada 20 Mac lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan harga jualan runcit BPI turun antara RM2 hingga RM3 di pasaran.
Pada masa ini harga runcit BPI di pasaran dijual sekitar RM38 hingga RM45 untuk pek 10 kilogram (kg) dan dengan pengumuman pelarasan harga baharu, jangkaan harga runcit BPI turun ke RM35 untuk pek yang sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!