Kembalikan kegemilangan UMNO Selangor - Tengku Zafrul
KLANG - Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan keperluan mengembalikan kegemilangan UMNO di Selangor.
Tengku Zafrul berkata, UMNO mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah apabila tidak menang sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hanya menang dua kerusi.
Menurutnya, kekalahan teruk itu sepatutnya menjadi amaran terakhir dan mencelikkan mata parti berkenaan untuk bangkit namun sehingga kini belum melakukan sebarang perubahan.
"Sekarang sudah lapan bulan PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baharu tawan hati rakyat? Tak ada.
"Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat UMNO pusat dan Bahagian," katanya menerusi perkongsiannya di aplikasi X.
Amanah itu disampaikan pada Majlis Iftar Ramadan dan perasmian serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Kota Raja.
Beliau berkata, beberapa langkah boleh diambil bagi mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor termasuk pelaksanaan kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan di Selangor.
"Kedua, modenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, menggunapakai data dan analisa dengan tepat.
"Ketiga, UMNO Selangor perlu mencari pelapis dengan hati terbuka kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan," katanya.
Selain itu katanya, UMNO Selangor perlu merangka kerjasama menang-memang dengan rakan gabungan di Selangor.
"Kelima dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi & dasar, buang cah keting.
"Jika tidak berubah, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa," ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, masih komited dengan UMNO Kota Raja dan UMNO Selangor kerana yakin berkongsi impian sama melihat parti itu kembali relevan dan dihormati rakyat Selangor.
"Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras tetapi inilah resam perjuangan dan impian yang wajib dilaksanakan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!