Tidak masuk akal MCA bertanding PRK Kuala Kubu Baharu - Nie Ching
KULAI - Ketua wanita DAP, Teo Nie Ching menganggap tidak masuk akal untuk MCA bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
Menurutnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, ini kerana kerusi tersebut sudah menjadi milik DAP sejak memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kerusi itu telah dipertahankan oleh Lee Kee Hiong sejak 2013, jadi kenapa kita nak bagi pada MCA.
"Saya tidak mahu ulas panjang mengenainya dan biarlah perbincangan dibuat dalam parti mereka," katanya mengulas desas-desus dalam kalangan akar umbi MCA untuk menuntut kerusi itu pada PRK tersebut.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Projek Baju Raya Terpakai dan Sumbangan Bantuan Raya di Blok 3 Flat Taman Putri di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Nie Ching berharap calon wanita akan dipilih dalam PRK berkenaan kerana Wanita DAP mempunyai beberapa nama yang berpotensi tinggi untuk dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diketengahkan.
Timbalan Menteri Komunikasi itu yakin kepimpinan tertinggi parti dapat menggunakan kebijaksanaan mereka memilih calon yang tepat dan berkaliber daripada senarai terdiri daripada pelbagai kaum.
"Sebagai Ketua Wanita DAP, sememangnya saya berharap calon wanita yang dipilih seterusnya menambah bilangan wakil rakyat dalam kalangan wanita.
"Untuk rekod, DAP mempunyai jumlah ahli Parlimen paling tinggi berbanding parti lain, daripada 40 keseluruhan ahli Parlimen, 10 daripadanya adalah wanita.
Bagaimanapun, segala keputusan terpulang kepada kepimpinan tertinggi untuk memilih calon yang layak pada PRK ini kerana banyak faktor perlu diambil kira," katanya.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei, selepas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.
Perbincangan mengenai calon itu nanti akan melibatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan dua lagi Naib Pengerusi DAP iaitu M Kulasegaran dan Nga Kor Ming bersama DAP Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!