MBPP mandulkan 6,046 anjing liar di Pulau Pinang

Gambar hiasan. 123RF
Gambar hiasan. 123RF
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memandulkan 6,046 anjing liar setakat ini, bagi membendung peningkatan jumlah haiwan itu di negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia dijalankan menerusi program perangkap, mandulkan dan lepaskan (TNR) sejak 2017, dengan kerjasama Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Binatang (IAPWA), di mana Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melaksanakannya.

"Selain melaksanakan TNR, kita juga mengamalkan polisi tidak memusnahkan anjing liar yang ditangkap melainkan ia sakit tenat.

"Sesudah dimandulkan, kita akan melepaskannya kembali ke tempat asal, kerana anjing merupakan haiwan berkawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 2nd World Cat Federation Penang International Cat (PIC) Fiesta 2024 di Spice Arena di Bayan Lepas dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata, anjing-anjing tersebut juga akan ditempatkan semula untuk peliharaan kepada mereka yang ingin memelihara haiwan tersebut.

MBPP hingga kini masih menerima aduan berhubung kehadiran anjing dan kucing liar khususnya di kawasan Teluk Bahang serta Balik Pulau.

Mengenai PIC Fiesta 2024, Kon Yeow berkata, sebanyak 300 kucing dari seluruh dunia menyertai pameran itu.

Kon Yeow berkata, selain pameran kucing, PIC Fiesta 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya bengkel dandanan kucing, pertandingan melukis, seminar perkongsian ilmu mengenai kucing dan kempen pemilikan kucing pedigri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!