Cubaan seludup 43 burung bernilai RM800,000 berjaya dipatahkan

Sebahagian burung yang berjaya dirampas Perhilitan dalam satu serbuan di KLIA, baru-baru ini. Foto Ihsan Perhilitan
Sebahagian burung yang berjaya dirampas Perhilitan dalam satu serbuan di KLIA, baru-baru ini. Foto Ihsan Perhilitan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 43 ekor burung spesies dilindungi yang cuba diseludup ke luar negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan risikan dilakukan, pihak Perhilitan menjalankan satu operasi khas pada 2 April lalu jam 1.10 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kata beliau, kesemua burung itu disimpan di tempat yang sama semasa rampasan dilakukan.

Beliau berkata, nilai rampasan melibatkan kesemua jenis burung spesies dilindungi itu dianggarkan bernilai RM800,000.

"Berdasarkan siasatan dilakukan, kita percaya kesemua burung ini cuba diseludup keluar ke Indonesia.

"Malah kita juga percaya ia berkemungkinan bagi memenuhi pasaran tinggi di luar negara serta permintaan pada musim perayaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Burung yang dirampas ini dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. Foto Ihsan Perhilitan
Burung yang dirampas ini dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. Foto Ihsan Perhilitan

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, spesies burung yang dirampas ialah dua ekor disyaki burung Ara Hybrid, Yellow Headed Parrot (21), Military Macaw (8), Scarlet Macaw (7), Blue and Yellow Macaw (1), Major Mitchell's Cockatoo (2) serta Golden Parakeet (2).

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai tangkapan terhadap suspek terlibat, beliau berkata, tiada tangkapan dalam operasi tersebut.

Namun begitu katanya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Perhilitan bagi mengesan dalang perbuatan itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 13 & 44 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686)," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!