123 peratus isu 3R direkod pada suku pertama 2024

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi e-Sepakat merekodkan 123 peratus bersamaan 47 kes berkaitan 3R (agama, raja, kaum) direkodkan pada suku pertama pada tahun 2024 iaitu melibatkan isu agama, kenyataan berbaur kebencian dan perkauman.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 162 kes dicatatkan di seluruh negara yang melibatkan pergaduhan antara kaum.

Menurutnya, statistik tertinggi yang direkodkan di negeri Johor sebanyak 53 kes, diikuti Selangor (34) manakala Pulau Pinang (23).

“Pada tahun lalu kes berkaitan 3R adalah 21 kes yang dicatatkan, tetapi tahun ini meningkat lebih tinggi.

“Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebanyak 1,454 kandungan berkaitan 3R telah diturunkan daripada platform media sosial sejak Januari hingga 31 Mac lalu.

“Antara kandungan yang dikeluarkan termasuk ucapan kebencian kaum sebanyak 588 kes, ucapan kebencian agama pula (727) dan ucapan kebencian institusi diraja (139),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular sekeping gambar dimuat naik oleh pengguna media sosial yang memaparkan stoking berjenama Miranosock tertera perkataan ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway.

Perkara tersebut mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang turut murka selain menitahkan masyarakat untuk sentiasa menjaga keharmonian negara serta tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum atau raja-raja.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, PDRM menggesa semua pihak berhenti memainkan isu 3R kerana ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes berkaitan 3R semakin ‘panas’, namun pihaknya tidak pernah berdiam diri melalui tindakan proaktif termasuk membuka kertas siasatan berdasarkan laporan polis dibuat.

Mengulas lanjut, menurut Aaron, sikap saling hormat menghormati dan tolak ansur perlu dihayati setiap lapisan masyarakat.

Ujarnya, dengan memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum ia dapat menepis segala kegusaran yang timbul.

“Apabila kita saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

“Semua pihak perlu ingat, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!