Tiga maut, lima cedera dalam nahas tiga kenderaan

Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Jalan Ladang Kiram Kunak-Tawau, Kunak pada Sabtu.
Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Jalan Ladang Kiram Kunak-Tawau, Kunak pada Sabtu.
A
A
A

KUNAK - Tiga dilaporkan maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ladang Kiram Kunak-Tawau dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tiga mangsa maut yang menaiki Proton Saga Iswara iaitu Tima Amilhusin, 74; Noorhashim Ambutong, 41, dan Alkawi Ali, 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Kemalangan dipercayai membabitkan Proton Saga Iswara, pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dan sebuah motosikal.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.20 petang.

"Seramai lima anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 16 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak bagi membantu mangsa.

"Hasil pemeriksaan, terdapat tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga mangsa dalam pacuan empat roda dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala dua lagi penunggang motosikal telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!