Gempa bumi Taiwan: 13 mangsa terkorban, ratusan masih terkandas
TAIPEI - Angka kematian susulan gempa bumi kuat di Taiwan meningkat kepada 13 orang semalam selepas satu lagi mayat ditemukan di Taman Negara Taroko yang teruk terjejas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Di bandar timur Hualien, lokasi gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada Rabu berpusat, jalan raya di kawasan pergunungan masih terhalang oleh beberapa tanah runtuh.
Di taman negara pada Sabtu pasukan penyelamat menemukan satu mayat dan masih cuba mengeluarkan mangsa lain yang terperangkap di bawah batu. Penemuan itu menjadikan angka kematian kepada 13 orang, kata Agensi Bomba Kebangsaan, dengan enam orang masih tidak dapat dikesan.
Kira-kira 1,145 mangsa mengalami kecederaan dalam bencana itu.
Sementara itu, lebih 440 orang termasuk pelancong dan penduduk masih terkandas di beberapa lokasi di taman itu yang terkenal dengan bentuk muka buminya yang berceranggah, menurut pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri, Lin Yu-chang, yang mempengerusikan Pusat Operasi Kecemasan Taiwan, berkata beberapa bahagian jalan yang rosak telah dibaiki dan kerajaan akan cuba memindahkan orang yang terkandas ke tempat selamat secepat mungkin.
Lin berkata, pasukan penyelamat dari Turkiye dijangka tiba di Taiwan untuk membantu mencari orang yang masih hilang di taman negara itu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!