Tawar potongan harga hingga 30 peratus
KLANG - Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan sempena perayaan Aidilfitri dengan penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran menerusi Jualan Semarak Syawal Agro Madani yang bermula 3 April sehingga menjelang Syawal.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain barangan segar seperti ayam, daging dan sayur-sayuran, bekalan juadah untuk perayaan itu yang meliputi ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih turut dijual.
Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka 753 cawangan pemasaran di seluruh negara.
"Di jualan ini, ayam yang berharga RM15 sekilo dijual RM10 dan beras tempatan 10 kilogram (KG) pada harga RM26, begitu juga dengan telur dan barangan lain yang lebih rendah.
"Program ini berterusan mengikut suasana dan keadaan kerana arahan daripada Perdana Menteri supaya FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang memainkan peranan (pastikan bekalan makanan) sama ada ketika perayaan atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Dalam majlis sama, Mohamad turut membuat Jualan Happy Hour Kombo Agro Madani Cashless merangkumi Kombo Segar dan Sayur Raya yang menawarkan penjimatan sebanyak 70 peratus iaitu pada harga RM5 berbanding sebenar, RM15 per kombo.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM menerusi FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi mencukupi dan pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.
"KPKM memberi jaminan bekalan ini mencukupi untuk sambutan Aidilfitri. Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan ini kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah kementerian.
"KPKM hanya membekalkan barangan keperluan tetapi pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Setiap usahawan di cawangan pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024 yang telah dikeluarkan pihak KPDN," ujarnya.
Tambah Mohamad, program jualan yang menyasarkan nilai sebanyak RM30.5 juta itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!