Hanya tidur setengah jam sehari siapkan tempahan kuih
MARANG - Seorang pembuat kuih tidak menang tangan menerima tempahan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal malah pernah tidur hanya setengah jam sehari semata-mata mahu memenuhi permintaan pelanggan.
Noor Fahera Atikah Azham, 28, berkata, dia menerima tempahan sehingga 3,000 biji pencuci mulut terdiri daripada pelbagai kek dan tart istimewa iaitu durian cheese tart yang menggunakan isi durian jenis D24.
Menurutnya, tempahan untuk setiap kuih yang dihasilkan itu akan ditutup sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali dibuka semula pada hari raya ketiga.
"Saya bersyukur sebab sepanjang Ramadan ini tempahan kuih yang saya hasilkan meningkat lebih-lebih lagi durian cheese tart yang mana sepanjang puasa sahaja sudah mencecah 1,000 biji.
"Pembuatan kuih ini agak rumit jadi kalau tak ada pembantu saya terpaksa buat sendirian.
"Kalau terlalu banyak tempahan biasanya saya tidur hanya satu jam atau setengah jam.
"Pernah juga seharian tak tidur sebab terlalu banyak tempahan masuk.
"Saya buat sendiri kuih dengan dibantu adik-adik. Saya juga buat penghantaran (COD). Sebab itulah kadang-kadang tak sempat nak tidur.
"Makan pun tak sempat sebab bila balik COD sambung lagi untuk yang nak ambil sebelah petang atau malam," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Fahera Atikah berkata, kuih-muih yang dijual itu dihasilkan di rumahnya di Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong di sini.
"Saya belajar hasilkan durian cheese tart ini melalui media sosial.
"Istimewanya kuih ini isi dalamnya tu kita guna isi durian asli dan dekorasinya sama seperti durian sebenar.
"Saya juga belajar cara-cara untuk ajar cara campur pewarna untuk dapatkan warna duri durian seperti durian sebenar.
"Masa mula-mula buat tu saya ambil masa selama tiga jam untuk hasilkan sekotak durian cheese tart yang mengandungi 25 biji kuih.
"Sekarang saya dah biasa jadi dalam sejam sahaja dah boleh siapkan bahagian untuk duri kuih ini," katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai itu berkata, banyak cabaran untuk menghasilkam durian cheese tart.
"Kuih itu perlu disimpan di tempat sejak dan perlu sentiasa menghidupkan penyaman udara untuk pastikan ia tidak cair.
"Kalau cair perlu masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan kembali untuk dapatkan tekstur yang sesuai.
"Bahan-bahan untuk kuih ini juga naik harga macam cream cheese, tepung, gula.
"Dulu mula-mula buat tart cream cheese harga RM45 sahaja sekarang harganya naik mendadak kepada RM65," ujarnya.
Menurut Noor Fahera Atikah, harga bagi durian cheese tart dijual bermula RM30 sehingga RM100 untuk 10biji hingga 36 biji dan RM15 hingga RM100 bagi kuih lain.
"Untuk kuih cheese tart painting pula harganya bergantung kepada reka bentuk yang dimahukan pelanggan.
"Selain itu, saya juga hasilkan brownies, burnt cheesecake, cheese painting yang berasaskan cream cheese," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!