Iftar ala Madinah labuh tirai
SHAH ALAM - Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 yang bermula pada 13 Mac lalu melabuhkan tirainya pada Jumaat.
Rata-rata pengunjung ditemui juga berharap program berkenaan dapat diteruskan lagi pada Ramadan tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.
Seorang pengunjung, Nilam Suria Yusof, 46, berkata, momen keseronokan berbuka puasa beramai-ramai secara terbuka itu akan terus menjadi kenangan manis dirinya dan keluarga.
“Kalau boleh saya berharap program ini diteruskan setiap tahun. Selain membantu orang ramai menjimatkan perbelanjaan untuk berbuka puasa, ia juga dapat mengeratkan silaturahim.
“Kalau di rumah, kadang-kadang saya berbuka dua orang sahaja. Tapi di sini dapat makan beramai-ramai, memang seronok,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ditanya cadangan yang perlu ditambah baik penganjur, Nilam Suria yang merupakan suri rumah berkata, dia sangat berpuas hati sepanjang hadir ke program tersebut.
“Alhamdulillah, semuanya baik dari segi juadah, semua makanan yang diberikan rasanya sedap. Layanan juga hampir sempurna,” katanya yang sudah beberapa kali menyertai program itu.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 di sini, Karmila Kamrozaman berkata, hajat dia untuk menyertai program berkenaan tercapai pada hari terakhir, rentetan kesibukan masa.
“Kawan yang maklum kepada saya tentang iftar ala madinah di Karangkraf ini. Sebelum ini memang tak sempat hadir.
“Bagaimanapun, alhamdulillah hari ini saya ada rezeki untuk sertai orang ramai berbuka di sini. Memang meriah,” katanya.
Tambahnya, program seumpama ini harus diteruskan kerana dapat meringankan beban orang ramai dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Keluarga yang tak mampu boleh berbuka di sini, dapatlah mereka berjimat cermat,” katanya.
Bagi pembantu teknik, Firdaus Sallehhudin, 38, pula, dia berasa sayu mengenangkan program berkenaan telah melabuhkan tirainya.
Bagaimanapun, dia berasa teruja apabila dihiburkan dengan pertunjukan bunga api pada hari terakhir penganjuran program tersebut.
“Ini merupakan hari keempat saya sertai dan harapnya dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana suasananya yang mampu memberi kecerian kepada yang hadir,” katanya.
Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 yang bermula 13 Mac hingga 5 April terbuka kepada 2,000 pengunjung sehari.
Ia memberi peluang orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi di Madinah, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!