'Dugaan berat buat kami'

Mohd Esmadi menunjukkah gambar Dayyan (kiri) dan Status yang dimuat naik Mohd Esmadi dan kini mendapat 27,000 perkongsian di Facebook
Mohd Esmadi menunjukkah gambar Dayyan (kiri) dan Status yang dimuat naik Mohd Esmadi dan kini mendapat 27,000 perkongsian di Facebook
A
A
A

MARAN - Adik tengah main bersama kawan-kawan dalam syurga, itu jawapan abang kepada Muhammad Dayyan Hazim Mohd Esmadi, setahun lapan bulan, yang meninggal dunia akibat demam panas pada 6 Januari lalu apabila ditanya mengenai ketiadaan adiknya.

Jawapan Muhammad Daniyal Hariz, 4, itu turut meruntun hati ibu bapanya Rossilawati Mohamad, 37, dan Mohd Esmadi Ibrahim, 36, yang kehilangan anak bongsu mereka pada 6 Januari lalu.

Mohd Esmadi berkongsi kesedihan dan pengalaman keluarganya di Facebook dan mendapat perhatian netizen selepas tular di media sosial.

Menurutnya, Dayyan meninggal dunia selepas hanya sehari mengalami demam panas hingga sawan.

Sehingga hari ini perkongsian pengalaman itu menarik perhatian 31,000 tanda suka,19,000 komen dan 27,000 perkongsian oleh netizen.

Ketika ditemui Sinar Harian hari ini, Esmadi mengakui terkejut kerana perkongsian tersebut menjadi tular dan menyifatkan sebagai satu peringatan dan kesedaran buat ibu bapa di negara ini.

"Ibu bapa kena peka dengan tahap kesihatan anak-anak masing dan jangan ambil mudah kalau anak mengadu tidak sihat," katanya arwah seorang anak yang ceria,lincah dan kesayangan keluarga.

Muhammad Dayyan
Muhammad Dayyan

Artikel Berkaitan:

Reda dengan kehilangan anak ketiganya, Esmadi mengakui permulaan tahun 2020 disifatkan berat buat mereka namun akur dan menganggapnya sebagai peringatan dan ujian buat dia dan isterinya.

Ini berikutan semasa kejadian Esmadi yang bertugas sebagai Pengurus Felda Jengka 1 itu tidak ada bersama mangsa kerana dia berada di sebuah hospital swasta di Kuantan bagi menjaga anak keduanya, Daniyal yang disahkan dijangkiti influenza A.

"Bayangkanlah saya tidak dapat memberikan tumpuan kepada Dayyan dan tidak pernah berjumpa dia dari 1 Januari 2020 kerana memberikan tumpuan kepada Daniyal yang demam teruk.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi berharap selepas ini Kementerian Kesihatan memperbetulkan polisi yang ada. Janganlah terlalu mengikut prosedur sehinggakan hendak tunggu lima hari baru melakukan ujian dan sebagainya sedangkan anak sakit teruk,” katanya.

Menurutnya pada 2 Januari lalu, isterinya yang menjaga Dayyan menelefon memberitahu anak keduanya itu demam panas mendadak dan sakit di dalam perut.

"Saya kemudian meminta isteri membawa Dayyan ke klinik swasta tetapi didapati negatif influenza," jelasnya.

Katanya, berbekalkan antibiotik dan ubat demam Dayyan dibawa pulang ibunya sebelum suhunya demamnya mendadak sehingga terpaksa diberikan ubat sebelum mengalami sawan dan dihantar ke Hospital Jengka.

"Berita menyedihkan saya terima dalam perjalanan pulang dari Kuantan ialah Dayyan semakin kritikal sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Apabila sampai di hospital doktor pakar memaklumkan anak saya amat kritikal sebelum dia meninggalkan kami pada jam 7.11 pagi. Kami reda yang ALLAH lebih sayangkannya.

"Saya sempat berkata, Abi dah reda, pergilah dan Dayyan sempat mengeraskan tangan kirinya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Jenazah Dayyan selamat dikebumikan di Jengka 18 pada hari sama," katanya.

Ujarnya, keputusan mengenai situasi yang menimpa anak bongsunya itu bakal diketahui pada awal Februari manakala Daniyal kini sudah sihat dan dibenarkan pulang.

"Saya dan isteri sibukkan diri seperti membaca lebih banyak al-Quran untuk menghilangkan kesedihan.

"Cuma saya tidak mahu simpan lagi semua segala barangan berkaitan anak bongsu untuk biasakan diri dengan kehilangan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!