Empat Perang Gaza dalam tempoh 15 tahun
PERANG Gaza yang tercetus pada 7 Oktober lalu dan sudah berlarutan selama setengah tahun tidak menunjukkan tanda akan reda dalam masa terdekat.
Operasi ketenteraan yang semakin tidak terkawal itu berpunca daripada sikap keras kepala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap mahu meneruskan perang genosid tersebut meskipun berdepan desakan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) supaya mengubah ‘haluan’ kempen pencerobohan ganas tersebut yang menekankan matlamat utama untuk menghapuskan Hamas.
Israel-Hamas sudah terlibat lima peperangan di Genting Gaza dalam tempoh kira-kira 15 tahun dan yang terbaharu adalah pada 2023.
Konflik tidak berkesudahan itu bermula pada 2005 apabila tentera Israel bersama komuniti pendatang Yahudi dari 21 kawasan penempatan berundur dari Gaza.
Tindakan pengunduran itu menjadi titik tolak kepada krisis yang berterusan hingga kini selain mencetuskan rancangan jahat untuk merampas semula wilayah tersebut dengan mengusir penduduk Palestin.
1. Operasi Cast Lead (2008) - 22 hari
Pada 27 Disember 2008, rejim Zionis melancarkan Operasi Cast Lead atau digelar ‘Pembunuhan Gaza’ yang menyaksikan wilayah itu dibedil dari pelbagai arah selama 22 hari sebagai tindak balas terhadap hujan roket Hamas.
Ia dianggap sebagai pembunuhan berat sebelah walaupun Israel memberi alasan kononnya sebagai tindakan untuk mempertahankan diri.
Jumlah korban penduduk Gaza adalah seramai 1,417 orang termasuk 313 kanak-kanak, manakala lebih 5,500 cedera. Dianggarkan 83 peratus angka kematian ialah orang awam dan hanya 13 kematian direkodkan di Israel.
Kempen pencerobohan ganas itu berakhir pada 17 Januari 2009 selepas pelaksanaan gencatan senjata unilateral oleh rejim Tel Aviv. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berundur dari Genting Gaza dan proses itu selesai pada 21 Januari tahun sama selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
2. Operasi Pillar of Defence (2012) - 8 hari
Konflik itu tercetus pada 14 November 2012 selepas Israel membunuh komander sayap tentera Hamas, Ahmed Jabari. Pejuang Hamas nekad melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv dengan lebih 1,000 roket. Rejim Zionis turut bertindak balas dengan membedil Gaza bertalu-talu dari pelbagai arah selama lapan hari dan meragut nyawa 177 penduduk Palestin manakala hanya enam kematian direkodkan di Tel Aviv.
Ketegangan itu akhirnya reda selepas campur tangan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Mesir dan PBB yang menggesa pelaksanaan gencatan senjata secara kekal, hasil rundingan selama beberapa hari.
3. Operasi Protective Edge (2014) - 51 hari
Pada 8 Julai 2014, Israel melancarkan Operasi Protective Edge dengan matlamat untuk menghentikan hujan roket dari Gaza dan memusnahkan terowong rahsia milik pejuang Hamas.
Kempen pengeboman ganas dari udara dan laut selama tujuh minggu itu telah meragut 2,251 nyawa penduduk Palestin termasuk 551 kanak-kanak manakala hanya 74 penduduk Israel terbunuh.
Sepanjang tempoh peperangan itu tercetus, beberapa siri tempoh bertenang telah dicapai sebelum gencatan senjata secara kekal dicapai pada akhir Ogos yang menyaksikan Mesir sekali lagi menjadi perantara proses tersebut.
Perang tersebut menyebabkan kemusnahan dahsyat infrastruktur di Gaza dan sebahagian daripadanya masih belum dapat dipulihkan.
4. Krisis Palestin-Israel (2021) - 11 hari
Pada 10 Mei 2021, pejuang Hamas melancarkan roket ke Israel setelah ketegangan meningkat selama beberapa minggu akibat tindakan provokasi melampau rejim Tel Aviv di pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) di Baitulmaqdis yang mencemari kesucian bulan Ramadan.
Israel kemudiannya bertindak balas dengan menyasarkan Genting Gaza di bawah operasi pengeboman ganas selama 11 hari yang turut menyebabkan 256 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak terkorban dan lebih 1,900 cedera di wilayah terkepung itu manakala hanya 13 terbunuh di Tel Aviv.
Kempen pencerobohan itu mengakibatkan kemusnahan besar di Genting Gaza.
Perancis bersama Mesir dan Jordan mengemukakan draf resolusi gencatan senjata kepada UNSC. Kaherah kemudiannya menjadi perantara proses damai itu yang berkuat kuasa pada 21 Mei tahun sama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!