‘Muhasabah diri daripada sakiti orang lain walaupun hal kecil’ - Zulkifli

Video tular mengenai seorang penceramah yang didakwa membuat fitnah di Masjid baru-baru ini.
Video tular mengenai seorang penceramah yang didakwa membuat fitnah di Masjid baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengingatkan masyarakat agar sentiasa bermuhasabah diri daripada menzalimi atau menyakiti orang lain walaupun dalam hal yang kelihatan kecil dan remeh.

Beliau berkata demikian berikutan video tular mengenai seorang penceramah yang didakwa membuat fitnah di Masjid baru-baru ini.

Menurutnya, fitnah di penghujung Ramadan seolah-olah tidak sabar menanti pembebasan syaitan dan iblis.

“Mendapat makluman perkara ini sudah dalam siasatan pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, marilah kita insafi firman ALLAH SWT dan hadis daripada Rasulullah SAW dalam Surah Al-Maidah:91 yang bermaksud, sesungguhnya syaitan hanyalah mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.

“Nabi Muhammad SAW dalam hadis diriwayatkan Saidina Huzaifah pula bermaksud, tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba) [Riwayat Al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)].

“Berwaspadalah agar kita tidak menjadi muflis di akhirat nanti. Semak sebelum sebar,” katanya menerusi hantaran di X pada Sabtu.

Sebelum ini, tular video berdurasi 1.01 minit di media sosial mengenai ceramah disampaikan Rosmin Adam yang didakwa memfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika kuliah Subuh di sebuah masjid di Negeri Sembilan pada 1 April lalu.

Susulan itu, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban pada Jumaat membuat laporan polis terhadap penceramah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!