Athletic julang Piala Raja Sepanyol
ATHLETIC Bilbao melakar sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan Piala Raja Sepanyol buat kali ke-24 dan yang pertama dalam tempoh 40 tahun sejak 1984.
Kejayaan bermakna tersebut diraih setelah skuad Basque menumpaskan Mallorca 4-2 menerusi penentuan penalti awal pagi Ahad selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar permainan.
Penjaga gol Athletic yang berusia 23 tahun, Julen Agirrezabala turut dijulang sebagai wira.
Dia kebal di gawang menafikan beberapa percubaan lawan dan menyelamatkan satu sepakan penalti ketika penentuan penalti daripada pemain Mallorca, Manu Morlanes, manakala percubaan Nemanja Radonjic melepasi palang.
Pengambil sepakan penalti Athletic pula bertindak cemerlang setelah melakukan sepakan sempurna untuk meledak empat penalti berturut-turut bagi memastikan kemenangan.
“Kami melakar sejarah! Sudah lama saya mengimpikan kejuaraan ini.
“Saya sudah memberikan segala-galanya buat keluarga dan rakan saya,” kata pemain terbaik perlawanan, Nico Williams.
Kejayaan itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila Mallorca terlebih dahulu di depan menerusi Dani Rodriguez pada minit ke-21.
Namun semangat enggan menyerah kalah membuahkan hasil apabila asakan bertali arus ke gawang Mallorca membantu Ohian Sancet untuk menyamakan kedudukan buat Athletic.
Jaringan itu menyuntik semangat para pemain Athletic, namun mereka mensia-siakan banyak peluang termasuk percubaan Williams pada masa tambahan yang dinafikan tiang gol.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!