APM Kedah bantu pengguna jalan raya pulang berhari raya

Zairil Anuar (tiga dari kanan) membuat pelepasan Majlis Flag Off Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri 2024 di Kompleks APM Kota Setar pada Ahad.
Zairil Anuar (tiga dari kanan) membuat pelepasan Majlis Flag Off Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri 2024 di Kompleks APM Kota Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 60 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah ditugaskan sepanjang perlaksanaan Ops Prihatin sempena Aidilfitri 2024 di 12 daerah di Kedah.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, penugasan Ops Prihatin membabitkan persediaan menghadapi sebarang kes kecemasan ketika sambutan Aidilfitri bermula sejak Jumaat lepas hingga 14 April ini.

Beliau berkata, fokus Ops Prihatin adalah membantu orang awam yang bermasalah atau berdepan kecemasan dalam perjalanan pulang ke destinasi mereka seperti kenderaan rosak dan kemalangan.

"Jadi, kita akan bantu menyelesaikan masalah tersebut seperti memberi rawatan kecemasan termasuklah yang pengsan akibat cuaca panas.

"Kita akan memberi rawatan dan bersedia untuk menghantar mereka ke hospital berdekatan jika secara tiba-tiba berlaku kes strok haba,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Flag Off Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri 2024 di Kompleks APM Kota Setar, di sini, pada Ahad.

Zairil Anuar berkata, anggota APM terlibat juga akan melakukan rondaan dan bersedia membuat pembaikan kecil dengan membantu pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan seperti tayar pancit dan sebagainya.

Barisan anggota yang terlibat pada Majlis Flag Off Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri 2024 di Kompleks APM Kota Setar pada Ahad.
Barisan anggota yang terlibat pada Majlis Flag Off Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri 2024 di Kompleks APM Kota Setar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perlaksanaan Ops Prihatin APM Kedah terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama bermula 5 hingga 09 April 2024 dan fasa kedua bermula 12 hingga 14 April 2024.

"Tumpuan kita adalah di jalan utama negeri dan persekutuan, kawasan tumpuan pelancong dan hentian rehat melibatkan pelbagai logistik termasuklah ambulans, kenderaan pacuan empat roda (4x4), lori dan motosikal.

"Seramai empat anggota akan terlibat dalam penugasan Ops Prihatin bagi setiap syif sama ada pagi, petang ataupun malam," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, APM Kedah juga bersiap siaga sepanjang tempoh peralihan monsun bermula 29 Mac dan dijangka berterusan hingga Mei depan.

Zairil Anuar berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/2024.

"MetMalaysia juga meramalkan kemungkinan akan berlaku di sesetengah negeri di Malaysia menjelang Aidilfitri ini susulan berada pada fasa peralihan monsun.

"Susulan itu, APM Kedah mengambil pendekatan waspada dan meletakkan petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di setiap daerah untuk sentiasa dalam keadaan siap siaga dengan sebarang kemungkinan dan melakukan pemantauan di lokasi hotspot bencana,"katanya.

Beliau menambah, APM Kedah juga telah meletakkan beberapa orang pegawai di daerah bagi persediaan menghadapi sebarang keadaan kecemasan ketika cuti perayaan Aidilfitri, selain menggunakan khidmat petugas OP Ramah bagi membuat pemantauan berkala.

Menurutnya, persediaan itu dilakukan berikutan Kedah berisiko dilanda ribut ketika fasa peralihan monsun dengan dua kejadian ribut telah direkodkan setakat ini.

"Yang pertama, kejadian ribut di Baling hingga menyebabkan 200 khemah Bazar Ramadan Pelancongan dan Bazar Syawal terjejas pada 31 Mac lepas,manakala kes kedua melibatkan angin kuat melanda Taman Nusantara hingga mengakibatkan 20 rumah terjejas di Yan pada 4 April,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!